KUALA LUMPUR: Peguam kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhujah pihak pendakwa raya tidak mempunyai kes 'prima facie' dalam 12 pertuduhan pecah amanah yang dikenakan terhadap Presiden UMNO itu berhubung transaksi berkaitan Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapinya.

Ini kerana buku cek peribadi Ahmad Zahid dan Yayasan Akalbudi dipegang oleh setiausaha eksekutifnya ketika itu, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Peguam, Hamidi Mohd Noh dalam hujahan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah di sini hari ini berkata daripada 52 cek tersebut, sebanyak 44 cek adalah berkait dengan cek dikeluarkan daripada YAB melalui akaun Affin Bank Berhad.

Mazlina katanya telah mengeluarkan cek yang telah ditandatangani Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lebih awal dan membawa cop yang terdapat tandatangan Ahmad Zahid tanpa pengetahuannya.

Hamidi dalam hujahannya turut membahagikan pengeluaran 52 cek itu kepada empat bahagian:

[TERKINI] Perbicaraan kes DS Zahid Hamidi diteruskan

BACA: 47 pertuduhan adalah 'penindasan berlebihan' terhadap Ahmad Zahid - Peguam

Hamidi turut memberitahu mahkamah, Mazlina mempunyai kawalan terhadap buku cek tersebut dan dia mengakuinya dalam pemeriksaan balas sebelum ini.

“Beliau juga memegang kunci laci tempat di mana buku cek itu disimpan. Tertuduh (Ahmad Zahid) tidak mempunyai akses,” katanya.

Katanya lagi, pihak pendakwaan juga terlalu bergantung kepada Mazlina untuk membuktikan kes mereka tetapi beliau terbukti tidak boleh dipercayai, tidak kompeten dan sangat cuai.

“Pihak pendakwaan belum membuktikan kes prima facie untuk CBT (pecah amanah) dan tertuduh berhak dibebaskan,” ujarnya.

BACA: Zahid Hamidi sepatutnya diberi imuniti daripada didakwa - Peguam

Dalam hujahan Hamidi, beliau memberitahu dalam pemeriksaan balas, Mazlina telah bersetuju dengan pembelaan bahawa tandatangan cop Ahmad Zahid hanya boleh digunakan untuk sijil dan kad ucapan Hari Raya.

Semasa perbicaraan, Mazlina memberi keterangan bahawa Ahmad Zahid mengizinkannya untuk menggunakan cop yang ada replika tandatangannya pada cek Yayasan Akalbudi untuk menyelesaikan bil kad kredit.

Mazlina berkata bahawa cop itu akan digunakan ketika bekas Timbalan Perdana Menteri itu berada di luar pejabat, menghadiri perjumpaan atau di luar negara.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan - 12 melibatkan CBT, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Hujah pembelaan bersambung esok.