Jabatan Perdana Menteri tidak memperkenalkan langkah pencegahan baru bagi mengawal wabak Mers CoV di kalangan jemaah haji musim ini, walaupun wabak itu sudah meragut nyawa pertama di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebaliknya yakin tindakan yang diambil pihak Kerajaan Arab Saudi sudah memadai.

“Sistem pemantauan kesihatan di Arab Saudi ditambah baik dari tahun ke tahun. Pihak sana (Riyadh) memiliki hospital yang dianggap bertaraf begitu tinggi,” jelasnya ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan memperkenalkan langkah baru bagi mengawal penularan wabak Mers CoV di kalangan jemaah.

Bagaimanapun beliau memaklumkan setiap bakal haji perlu melalui peperiksaan kesihatan, sebelum dibenar berlepas ke Tanah Suci, seperti musim-musim sebelum ini.

Sekurang-kurangnya 73 meninggal dunia di Arab Saudi akibat Mers CoV.

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) pula merekodkan 243 kes Mers di seluruh dunia di mana 93 daripadanya maut.

Malaysia mencatatkan kematian pertama akibat Mers CoV selepas Kamaroz Zaman Jafri, 54, meninggal dunia 13 April lalu selepas pulang mengerjakan umrah.

Tabung Haji melalui laman webnya memaklumkan setiap bakal haji mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan virus Mers CoV, termasuk kakitangan Tabung Haji yang bertugas di Tanah Suci.

Kerajaan Arab Saudi pernah mencadangkan bakal jemaah haji yang sudah berusia dan mempunyai penyakit kronik menangguhkan pemergian.

Seramai 22 ribu jemaah dijangka berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan haji pada musim tahun ini berdasarkan jumlah kuota yang diperuntukkan Riyadh.

Sementara itu, Jamil memaklumkan pihaknya juga akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi menubuhkan pusat sehenti yang bertangungjawab menguruskan isu berkaitan umrah, termasuk wabak Mers CoV di kalangan jemaah umrah.