Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang hampir RM1.4 juta untuk membiayai projek naik taraf dan pengoperasian dormitori penginapan bagi waris pesakit di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Anggota Lembaga Pengarah TNB Datuk A. Sakhtivel berkata antara penambahbaikan yang dibuat di bawah projek perintis antara TNB dan Yayasan IJN itu ialah menambah jumlah bilik penginapan dan katil serta menyediakan pilihan katil seorang, katil bertingkat dan bilik keluarga.

"Dengan adanya dormitori yang serba baharu ini, waris pesakit boleh menginap dalam keadaan selamat dan lebih selesa sekali gus meringankan beban dari segi mencari kemudahan tempat tinggal," katanya pada perasmian kemudahan itu hari ini.

Menurutnya, hampir RM390,000 digunakan bagi kerja menaik taraf kemudahan manakala RM1 juta lagi untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan sehingga 2021.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan IJN Toh Puan Dr Aishah Ong berkata projek naik taraf itu membolehkan kemudahan itu menerima 56 penghuni pada satu-satu masa berbanding 25 sebelum ini.

"Dormitori di Bangunan Blok C IJN ini hanya mengenakan bayaran bermula RM10 hingga RM50 semalam mengikut jenis katil dan bilik selain menyediakan baucar makanan," katanya.

Beliau seterusnya berkata sehingga September 2017, sejumlah RM2.6 juta dibelanjakan di bawah Program Bantuan Pesakit bagi membantu 93 pesakit merangkumi 54 dewasa dan 39 kanak-kanak.

Penjawat awam R. Parimaladeevi, 33, yang menginap di dormitori itu sejak semalam berkata penginapan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas itu sangat menjimatkan dan selesa setanding dengan hotel.

"Saya tidak menyangka 'dorm' yang hanya kenakan bayaran RM10 semalam sangat selesa sebegini, lebih menggembirakan saya menjadi antara penghuni terawal yang menginap di tempat baharu ini. Malah tempat ini juga sangat strategik,'' katanya.

Wanita berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu menjangka perlu menemani ibunya di IJN selama hampir dua minggu lagi.

-- BERNAMA