Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tiba di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang untuk membuat tinjauan di atas kapal mewah Equanimity.

Mengiringi Dr Mahathir, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Selasa lepas, kapal tersebut selamat berlabuh di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang kira-kira jam 1 petang.

Kapal tersebut melakukan pelayaran kira-kira 20 jam selepas berlepas dari perairan Batam, Indonesia dengan diiringi sebuah Kapal Diraja (KD) Jebat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama tiga kapal pasukan Polis Marin iaitu PT2, PA45 dan PA9.

Kapal itu sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

Kerajaan Indonesia menyerahkan kapal berkenaan kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Dr Mahathir semasa kunjungannya ke negara berkenaan Jun lalu.

Dr Mahathir dalam kenyataannya melalui akaun Facebook miliknya sebelum ini menzahirkan penghargaan kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan pihak berkuasa Indonesia kerana menyerahkan kapal mewah Equanimity kepada Malaysia.

Sebelum ini, wakil pasukan peguam yang mewakili syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), S. Sitpah berkata tempoh masa untuk kapal itu berlabuh di terminal ini tidak dapat dipastikan kerana ia bergantung pada siasatan.

Katanya, permohonan waran bagi penahanan kapal mewah itu dibuat oleh empat pihak, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Global Investment, dan kerajaan Malaysia.

Kapal mewah itu yang dianggarkan bernilai RM1 bilion dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB.

Pihak berkuasa antarabangsa masih memburu pemilik kapal iaitu ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low yang dikatakan turut bersuhabat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Kapal itu disita di Bali pada Februari lepas atas permintaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), namun pada April, mahkamah Indonesia memutuskan pihak Indonesia tidak boleh bertindak sedemikian dan kapal itu perlu dikembalikan kepada pemiliknya.