Namun, bagi yang pernah berpeluang mendekati beliau secara langsung dalam mana-mana fasa dalam kehidupan mereka, ada penilaian khusus yang dapat dibuat.
Ternyata, Dr Mahathir disifatkan sebagai individu yang meninggalkan impak tertentu - sama ada melalui tutur kata, tingkah laku mahupun 'sentuhan' keperibadiannya.
Begitu juga mereka yang kagum pada kewibawaannya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin, ahli politik, negarawan ataupun figura contoh yang kerap disebut-sebut di peringkat antarabangsa.
Bagi seorang bekas akauntan yang pernah membesar dalam keluarga yang rapat dengan 'pejabat Dr Mahathir', Raja Yazmin Raja Ariffin; Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; dan penerbit dan penggiat seni Puan Sri Tiara Jacquelina, masing-masing mempunyai kenangan, pandangan dan harapan tersendiri apabila diajukan topik mengenai figura tersohor tersebut.
Ini antara cerita mereka:
Lambaian Dr Mahathir
Membesar dalam era 80-an, Raja Yazmin Raja Ariffin, menyedari akan nama Dr Mahathir yang sangat gah dan sinonim ketika itu.
Apatah lagi apabila dirinya berada dalam lingkungan terdekat dengan figura tersebut. Bapanya, Allahyarham Datuk Raja Ariffin Raja Sulaiman, pernah bertugas di Jabatan Perdana Menteri sewaktu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat.
Bagaimanapun, untuk seorang yang bernama Dr Mahathir Mohamad meninggalkan impak ke atas dirinya, tidak memerlukan dia melibatkan diri dalam sebarang acara atau urusan rasmi, seperti arwah bapanya.
Lulusan Sarjana Muda Akaun dan Perbankan itu menceritakan, terjadi satu episod istimewa yang membuatkan dirinya kagum dengan kerendahan hati pemimpin negara tersebut.
Raja Yazmin yang juga cucu kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Kamaluddin Muhamad (Keris Mas) turut berkongsi pengalaman ketika beliau menuntut di sebuah universiti di Australia.
Pada pandangannya, pengalaman itu telah menambahkan rasa bangga terhadap sosok bernama Dr Mahathir.
Semuanya bermula daripada sifat semula jadi Raja Yazmin yang ‘banyak bercakap dan bertanya’ sewaktu di dalam kuliah, sekali gus memecahkan tanggapan stereotaip bahawa pelajar dari Asia yang kebanyakannya dilabel sebagai pasif.
Itu membawa kepada terciptanya gelaran 'Little Mahathir' dalam dewan kuliah. Siapakah yang dimaksudkan? Ikuti video berikut untuk mengetahui tentang perkara itu.
Menjelang hari lahir Tun Mahathir yang ke-93, ibu kepada empat orang anak itu berkata, tidak ramai pemimpin yang masih mampu memimpin negara ketika sudah menjangkau usia itu.
Jelasnya, Dr Mahathir akan berdepan pelbagai cabaran, namun negarawan itu mempunyai keazaman untuk melakukan demikian, dan tentunya rakyat Malaysia perlu bergerak ke hadapan bersama-sama beliau.
Semangat berjuang untuk negara
Walaupun pada usia 93 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi berjuang untuk negara. Semangat beliau yang masih gigih mentadbir negara merupakan sumber inspirasi buat keseluruhan warga Angkatan Tentera Malaysia.
Astro AWANI sempat bertemu Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, yang meluahkan rasa kagum terhadap kegigihan Dr Mahathir.
“Beliau merupakan seorang pemimpin yang disegani. Walaupun pada usianya kini yang mencecah 93 tahun, beliau masih berjuang buat negara.
“Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang pemimpin yang berdedikasi yang saya kenali. Beliau tidak akan pernah berputus asa untuk mencapai yang terbaik buat negara tercinta,” katanya.
Meriahkan seni negara
Sementara itu, kredibiliti Dr Mahathir sebagai pemimpin turut diharap dapat membawa perubahan dalam dunia seni tanah air.
Komuniti yang berkecimpung dalam bidang itu rata-rata mengharapkan kepimpinan Dr Mahathir akan membuka lembaran baharu buat masa depan bidang tersebut di negara ini.
Bagi penerbit dan juga penggiat seni Puan Sri Tiara Jacquelina, yang menyambut gembira pemerintahan baharu di bawah pimpinan Dr Mahathir berharap supaya dunia seni dan budaya Malaysia kembali mendapat perhatian untuk dimajukan.
"Saya mewakili rakan-rakan dalam dunia seni persembahan berharap agar di bawah pimpinan Dr Mahathir, aspek seni dan budaya diharap dapat dikembangkan sekali gus negara ini akan jadi lebih meriah dengan kekayaan budaya dan artistik," ujarnya.