BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Beban yang ditanggung oleh Noor Atikah Daud mungkin tidak dirasakan oleh sebilangan besar daripada kita.

Noor Atikah kini berteman air mata mengenang nasib anaknya, Affza Balqis Ahmad Sharel yang berada dalam keadaan kritikal kesan daripada gas methana yang dihidunya.

Adik Affza Balqis yang juga pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort Pasir Gudang kini dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU) Hospital Sultan Ismail, Johor.

Berkongsi ujian yang dihadapinya, Noor Atikah di laman Facebook peribadinya memohon seluruh kenalannya memanjangkan doa agar anak kesayangannya itu diberi kesembuhan segera.

"Assalammualaikum semua sahabat-sahabat FB yang mengenaliku ataupun tidak... mohon solat hajat dan doa dari kalian semua untuk Allah berikan kesembuhan buat anakandaku yang dikasihi Affza Balqis Binti Ahmad Sharel.

"Panggilan manja Adik, 14 tahun dari SMK Tg Puteri Resort, Pasir Gudang yang kini dalam keadaan kritikal di ICU Hospital Sultan Ismail, Johor akibat terhidu gas methana (beracun) yang menular di Pasir Gudang," kata Noor Atikah meluahkan rasa sedihnya.



Akibat tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu, Noor Atikah berkata, anaknya serta serta pelajar-pelajar sekolah lain yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Noor Atikah turut berkongsi kata-kata Affza Balqis sebelum keluar ke sekolah pada hari kejadian 12 Mac lalu.

Kata-kata anaknya itu masih terngiang-ngiang di telinga ibu yang tidak putus-putus berdoa dan mengharap Affza Balqis kembali pulih.

"Ummi (panggilan buat Noor Atikah) adik cantik kan (sambil memeluk dan mencium ibunya dengan manja)?" kata Affza Balqis kepada ibunya.

Bahkan, Affza Balqis juga turut memeluk bapanya sebelum keluar ke sekolah.

Menurut Noor Atikah, sekalipun dia dan suaminya reda dengan ujian Allah, namun apabila melihat keadaan Affza Balqis, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya mereka.

"Bila ummi dan bapa tengok adik terbaring kaku dengan alat bantuan pernafasan dan segala macam alat membuatkan hati ummi dan bapa lemah dan longlai seluruh anggota.

"Ummi dan bapa hanya mampu menadah tangan pada Yang Esa mohon diberi keajaiban dariNya bagi kesembuhan adik sayang," kata Noor Atikah lagi dalam catatannya.

Sehingga berita ini ditulis, catatan luahan rasa Noor Atikah telah dikongsi oleh 14,000 pengguna Facebook selain menerima komen daripada lebih 11,000 pemegang akaun Facebook.




BACA: Bukan hanya gas metana dikesan dalam Sungai Kim Kim?