Apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat beliau untuk menurunkan had mengundi sedia ada kepada 18 tahun, saya melihat masa depan yang cerah dalam agenda memperjuangkan nasib anak muda.
Jika kita membenarkan golongan muda mengundi, mereka dapat menyuarakan isu yang membelenggu anak muda seperti hutang pinjaman dan masalah pengangguran.
Suara mereka amat diperlukan agar isu-isu tersebut diberi keutamaan dan tidak dipandang remeh.
Apabila kita meminggirkan mereka daripada terlibat dalam proses memilih kerajaan secara demokrasi, kita akan kehilangan suara anak muda dan kurang perhatian diberikan kepada mereka kerana persepsi umum tentang kekurangan pengundi muda.
Dengan menurunkan had mengundi kepada 18 tahun, lebih ramai orang muda dapat mengambil bahagian dalam proses pilihan raya.
Sejurus itu, ahli politik akan mengetengahkan isu-isu dan polisi-polisi yang berkait rapat dengan golongan mereka.
Pemuda-pemudi sebenarnya perlu terlibat secara aktif dalam politik bagi memaknai demokrasi di Malaysia.
Anak muda harus cakna dan menjadi sebahagian daripada proses demokratik pembuatan undang-undang.
Kementerian Pendidikan Malaysia juga sudah meminda beberapa peruntukan yang memberi ruang kepada mahasiswa berpolitik di kampus untuk bersuara sekali gus terbabit dalam aktiviti politik mengikut sistem demokrasi, selain berupaya menyuarakan pendapat mengenai isu semasa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Penglibatan lebih ramai anak muda akan melahirkan sudut pandangan yang lebih segar berkenaan senario politik dalam negara.
Perkara ini adalah kerana anak muda lebih terdedah kepada idea-idea modernisasi yang lebih progresif.
Namun begitu, kebanyakan pihak mengatakan anak muda akan memilih kerajaan yang salah. Hakikatnya, tiada undi yang salah.
Semua undi adalah tepat, tidak kiralah daripada yang tua mahupun yang muda, selagi mana mereka menunaikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi.
Umur dan tahap pendidikan bukanlah prasyarat untuk golongan muda seusia 18 tahun untuk mengundi.
Tambahan, tahap kematangan setiap individu adalah berbeza, jadi ia tidak boleh menjadi kayu ukur samada orang muda mampu untuk mengundi ataupun tidak.
Malah mengikut Akta Umur Dewasa 1971, umur 18 tahun sebenarnya sudah diiktiraf sebagai seorang dewasa, matang dan rasional serta bertanggungjawab ke atas diri dan perlakuan sendiri, kerana mereka sudah terikat dengan undang-undang dan layak menandatangani kontrak.
Jadi, orang muda mesti ikut undang-undang, tetapi kenapa mereka tidak mempunyai suara dalam proses pembikinan undang-undang?
Sedemikian itu, tidak adil jika kita menghalang penglibatan mereka dalam proses pemilihan kerajaan kerana golongan inilah yang akan lebih lama terkesan akibat daripada keputusan politik pemimpin.
Orang muda perlu menjadi sebahagian daripada proses yang menentukan polisi-polisi yang membabitkan mereka terutamanya sosioekonomi belia.
Ruang perbahasan dan perdebatan juga diberikan sekali gus memberi kefahaman dan pendedahan kepada mahasiswa muda amnya.
Tetapi, reformasi sistem tanpa reformasi budaya adalah suatu kerja yang tempang dan lompang.
Penurunan umur pengundi dan pengambilan langkah untuk memupuk minat kepada proses politik seawal mungkin merupakan kunci kepada pembudayaan aktiviti berpolitik secara sihat.
Penglibatan para mahasiswa di dalam kegiatan berpolitik bukanlah sesuatu yang baharu.
Malah, mereka sentiasa mendapat perhatian dan kritikan oleh pelbagai pihak.
Menurunkan umur layak mengundi bermakna mewujudkan lebih banyak kebebasan, tetapi mungkin menyebabkan kegagalan dalam mencapai objektif jika orang muda terutamanya mahasiswa tidak bersedia.
Jika orang muda terutamanya mahasiswa sering ambil sikap sambil lewa dalam melaksanakan tanggungjawab dalam pelajaran, bagaimana kita ingin mempercayai bahawa mereka akan menunaikan tanggunjawab mereka sebagai pengundi?
Kita mengharapkan belia bakal membawa perubahan dalam landskap politik, tetapi bagaimana jika mahasiswa itu sendiri mengagungkan politik kebencian sesama mereka?
Pemerkasaan budaya orang muda, terutamanya dalam kalangan mahasiswa perlu dilakukan terlebih dahulu.
Kita perlu sedar bahawa proses reformasi sistem demokrasi sedia ada ini juga perlu seiring dengan proses reformasi budaya.
Keduanya-duanya memerlukan sinergi yang berterusan tanpa meninggalkan salah satu daripada kedua-duanya.
Kita perlu menurunkan hak mengundi, tapi kita perlu pastikan anak muda kita bersedia terlebih dahulu dari segi kefahaman dan pendedahan.
Kerajaan perlu meneliti samada penurunan had mengundi ini akan menyelesaikan masalah seperti politik kebencian dan juga kekacauan dalam institusi pendidikan.
Saya percaya bahawa penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun haruslah juga seiring dengan pendidikan politik di sekolah.
Melalui pemerhatian saya sebagai seorang tenaga pengajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, saya dapati ramai mahasiswa tidak memahami sistem politik negara dan fungsi parlimen Malaysia.
Tidak sewajarnya kita mengikut negara-negara yang telah menurunkan had umur mengundi secara melulu tanpa mengkaji usul-usul mereka dengan lebih mendalam.
Kebanyakan negara tersebut telah melaksanakan pendidikan politik di dalam sekolah.
Namun, sistem pendidikan di Malaysia tidak memberi pendedahan yang sama kepada golongan muda.
Kerajaan hendaklah menitikberatkan penerapan pendidikan politik secara menyeluruh di dalam silibus sekolah menengah seperti pendidikan kewarganegaraan dan konsep-konsep asas demokrasi.
Golongan mereka haruslah dibekalkan dengan pengetahuan mengenai politik agar mereka boleh membuat keputusan sendiri dengan bertanggungjawab dalam memilih pemimpin negara.
Jika kerajaan serius untuk mempertimbangkan cadangan menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, amatlah wajar untuk kerajaan menyertakan sekali pendidikan politik di sekolah, yang bukan sebagai mana yang difahami sekarang di mana pelajar sekadar diminta menghafal sumbangan tokoh dan parti politik tertentu.
Sistem pendidikan negara masih tidak cukup untuk melengkapi golongan muda dengan pengetahuan yang sepatutnya untuk mereka membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Saya bersetuju bahawa penurunan umur mengundi bakal membawa transformasi belia seperti yang diharapkan dan memberikan hak demokrasi kepada semua.
Tetapi perubahan ini seharusnya disertakan sekali dengan pembudayaan sikap belia yang prihatin, idealistik dan semangat dalam menabur bakti pada negara.
* Muiz Razak merupakan tenaga pengajar Undang-Undang di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semstinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI