SUDAH sampai masanya semua institusi pengajian tinggi atau universiti dalam negara kita menerima hakikat bahawa zaman kini sudah berubah oleh itu sebarang dasar atau peraturan lama yang dibuat dan dikuti selama ini harus juga diubah bagi memastikan mereka dapat terus wujud serta yang paling penting dapat bersaing bukan sahaja dalam negara malah diperingkat global pada masa akan datang.

Sebarang cadangan untuk membuka institusi pengajian tinggi kepada semua golongan harus dilihat dan dinilai secara positif dengan minda dan hati yang lebih terbuka sesuai dengan keadaan semasa dalam negara kini yang sudahpun berubah semenjak tamatnya Pilihanraya Umum Kali Ke 14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 yang lalu yang telah menyaksikan perubahan drastik terhadap tampuk pemerintahan negara. Tidak menjadi satu dosa atau kesalahan untuk membuka pintu semua institusi pengajian tinggi dalam negara kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang mereka, kerana setiap rakyat Malaysia berhak untuk mendapatkan pendidikan diperingkat tinggi dengan adil dan saksama.

Usaha membuka institusi pengajian tinggi untuk semua golongan juga dapat memberi banyak ruang dan peluang kepada para pelajar dalam IPT itu sendiri untuk belajar saling kenal mengenali antara satu sama lain serta bersaing secara sihat sesama mereka dalam menimba ilmu.

Dengan membuka institusi pengajian tinggi kepada semua golongan juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi semangat keharmonian kaum yang ada dalam negara kita. Ini lah peluang yang boleh serta sepatutnya diberikan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk berkumpul dan mengukuhkan lagi semangat persaudaraan sesama warganegara Malaysia yang terdiri daripada banyak kaum, budaya dan agama.

Pada masa yang sama langkah membuka IPT kepada semua golongan juga meningkat imej IPT itu sendiri diperingkat serantau dan diperingkat antarabangsa. Namun perlu diketahui, sebarang cadangan untuk membuka IPT kepada semua golongan tidak seharusnya terhad kepada peringkat para pelajar sahaja.

Sebarang cadangan untuk membuka universiti harus juga meliputi peringkat pentadbiran dan pengurusan universiti itu sendiri serta dikalangan tenaga pengajar atau ahli akademik IPT itu sendiri. Pihak pentadbiran, pengurusan dan tenaga akademik yang ada di dalam universiti perlu terdiri daripada individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bagi memudahkan sebarang usaha untuk membuka universiti itu sendiri kepada pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Semua pihak harus melihat isu ini secara positif serta tidak terlalu emosional kerana dengan membuka universiti kepada semua golongan dapat memberi pendedahan awal kepada semua pelajar untuk lebih bersiap sedia apabila mereka sudah tamat pengajian dan bekerja kelak. Kita harus menerima hakikat dengan hati dan minda yang terbuka, Malaysia ialah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama.

Sama ada kita suka ataupun tidak, semua pihak harus belajar untuk hidup bersama serta mengetepikan perbezaan kecil ada sesama kita bagi kemajuan diri kita sendiri serta negara kita. Universiti adalah salah satu peringkat pendidikan yang penting dalam menghasilkan seorang insan yang benar – benar mempunyai kualiti, oleh itu adalah penting supaya persekitaran universiti dibuka bagi memberi ruang dan peluang kepada semua pihak untuk masuk bedasarkan kelayakan yang dimiliki oleh mereka tanpa mengira latar belakang.

Banyak tamadun dunia dimasa silam serta pada masa kini yang maju serta berjaya kerana rakyat mereka diberi ruang dan peluang yang sama rata untuk bercampur gaul antara satu sama lain tanpa sebarang halangan atas sebab latar belakang, kaum budaya, ataupun agama yang berbeza.


*Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.