Seramai 4,896 calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) seluruh Malaysia mencapai keputusan semua A bagi tahun 2016.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Yusof, jumlah tersebut merupakan 1.11 peratus dari jumlah keseluruhan 440,782 calon yang menduduki UPSR tahun ini.

Selain itu, seramai 8,345 calon atau 1.89 peratus memperoleh keputusan maksimum 1B.

Manakala, 35,752 calon atau 8.11 peratus memperoleh minimum 2B dan 91,366 calon atau 20.73 peratus memperolehi minimum 1C.

Selain itu, 9,519 calon pula atau 2.16 peratus mendapat semua E dan gred purata nasional ialah 2.96.

Dr Khair berkata, keputusan tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan keputusan tahun lepas kerana UPSR 2016 mengikuti format peperiksaan yang baharu.

"Calon peperiksaan UPSR pada tahun ini merupakan kohort pertama yang telah mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak Tahun 1 iaitu pada tahun 2011," katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media pengumuman analisis keputusan UPSR 2016 di Putrajaya pada Khamis.

Keputusan UPSR 2016