PENULARAN wabak COVID-19 di negara ini bermula seawal 25 Januari 2020 selepas pelancong dari China yang memasuki tanah air dari Singapura disahkan menghidap wabak itu.

Walaupun berlaku peralihan kerajaan, namun misi tetap sama, iaitu memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Pelbagai inisiatif dilakukan Kerajaan dalam memastikan bukan sahaja wabak ini dihapus segera, malah kelangsungan hidup rakyat dapat diteruskan.

Ini merupakan langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam menangani wabak ini:

a. Perdana Menteri umum PKP di peringkat awal

Pada 16 Mac, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 hingga 31 Mac lalu, di seluruh negara.

Pada ketika itu, Malaysia yang memasuki fasa pembendungan akhir (late containment) merekodkan 553 kes positif COVID-19 - majoriti kluster jemaah tabligh - dengan 12 individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Muhyiddin berkata perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Katanya, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.




b. PKP dilanjutkan, pelaksanaan PKPD

Mengakui situasi semasa di negara ini berkemungkinan menjadi lebih sukar, tanggal 25 Mac menerusi satu perutusan khas, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

"Saya hendak menyebut di awal-awal ini bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar. COVID-19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini.

"Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita, tetapi di seluruh dunia," ujarnya.

Menurut perdana menteri lagi, taklimat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjangkakan peningkatan kes jika tiada sebarang tindakan diambil.




Namun katanya, PKP yang diperkenalkan sejak Rabu lalu ternyata sedikit sebanyak berjaya mengawal penularan wabak berkenaan.

Malah, PKP Fasa Kedua ini juga diperketatkan dengan mengehadkan waktu operasi premis perniagaan, restoran, gerai makan, stesen minyak dan beberapa lagi sektor lain.


c. Kerangka holistik Bantuan Prihatin Nasional

Rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat yang terjejas akibat wabak COVID-19 akan menerima dan boleh memohon pelbagai bantuan serta inisiatif yang digariskan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan kerajaan.

Selain Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan pada 27 Februari, rakyat juga boleh menikmati pelbagai bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumum Muhyiddin Mac lalu.

Kedua-dua pakej yang keseluruhannya berjumlah RM250 bilion bertujuan melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19.




Berikut antara bantuan dan inisiatif di bawah PRIHATIN:

* Elaun khas RM600 untuk petugas kesihatan dan perubatan.

* Elaun khas RM200 kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan anggota Rela.


d. Sinergi kerjasama kerajaan, swasta dan NGO

Dalam mendepani krisis, ia bukan sahaja melibatkan usaha daripada kerajaan semata-mata.

Setiap lapisan masyarakat, syarikat-syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) turut berperanan besar dalam memutuskan rantaian wabak ini.

Beberapa buah hotel sebagai contoh telah menawarkan kepada kerajaan untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin.

Malah, telah ada hotel seperti di Cyberjaya telah pun mula memberi perkhidmatan sebagai pusat kuarantin kepada mereka yang baru pulang dari luar negara.

Dinamika kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan turut jelas apabila mereka melakukan persiapan bagi menghadapi kemungkinan yang lebih serius.

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah MAEPS di Serdang mampu menempatkan 604 pesakit di dua buah dewan.




Selain memenuhi keselesaan mereka yang menerima rawatan, turut disediakan adalah perkhidmatan diet dan sajian pesakit, perkhidmatan kaunseling psiko sosial, kesihatan dan keselamatan pekerjaan, farmasi, X-ray, makmal patologi, bilik sisa am dan klinikal, rekod pesakit, penyelenggaraan kemudahan dan keselamatan.

Dalam membantu makmal milik kerajaan yang perlu melakukan ujian ribuan sampel setiap hari, beberapa makmal dan hospital swasta turut menawarkan perkhidmatan ujian pensampelan melalui RT-RPC.

Bukan sahaja bantuan dari agensi kerajaan, malah turut terlibat secara tidak langsung adalah pakar-pakar dalam bidang masing-masing, dari pemilik pencetak 3D yang pembuat perisai muka, pereka fesyen menyediakan PPE, FAMA menjual barangan segar sehinggalah para NGO yang menyalurkan makanan dan keperluan harian.

Ini usaha bersama yang patut kita banggakan.



APA YANG PERLU DILAKUKAN DALAM MASA TERDEKAT?

e. Bantuan, inisiatif khusus warga PKS

Mengikut rekod Jabatan Statistik Negara pada 2018, 38.3 peratus dari KDNK 2018 disumbangkan menerusi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Malah, 98.5 peratus perniagaan adalah PKS yang mana ia meliputi 70 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia.

Mereka antara golongan yang bukan lagi menerima tempias tetapi yang menerima impak yang paling besar susulan penularan wabak ini.

Ada yang menerima gaji harian, tidak lagi meneruskan pekerjaan atau perniagaan mereka.


Ada yang menghentikan sementara operasi, ada yang terpaksa membuang pekerja, malah ada yang perlu menutup terus perniagaan mereka.

Bantuan atau insentif khusus kepada PKS dilihat amat penting pada ketika ini dalam meneruskan kelangsungan perniagaan.

Selain mereka ini sebagai penyumbang kepada ekonomi, ia juga akan menjamin peluang pekerjaan selain kelangsungan rantaian bekalan di semua sektor.


f. Suasana Ramadan yang berbeza

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata bahawa bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Malah, ujar, Ismail Sabri, sekiranya PKP tamat sebelum Ramadan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk penganjuran bazar berkenaan.

Bertambah pilu, tatkala masing-masing mengejar amal ibadat di bulan yang penuh berkat dan maghfirah ini, surau-surau dan masjid-masjid akan terus sepi.

Segala ini semua kemungkinan yang bakal kita lalui pada Ramadan ini sekiranya PKP masih dilanjutkan.




g. PKP dilanjutkan?

Minggu ketiga PKP bakal berakhir pada Rabu ini (8 April). Walaupun usaha untuk mendatarkan graf semakin menampakkan hasil, namun tidak bermakna PKP tidak dilanjutkan.

Wujud kemungkinan PKP akan dilanjutkan apabila setiap hari Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan kes-kes positif COVID-19 di negara ini sentiasa mencecah tiga angka.

Akhirnya, kita - setiap rakyat di negara ini - perlu memainkan peranan penting, kerana secara realitinya kita adalah barisan paling hadapan dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 ini.

Secara nyata, pasukan perubatan kita sedaya upaya merawat mereka yang dijangkiti. Namun, mereka ini ibarat zon penampan, yang pasti mereka tidak mahu menemui anda di hospital, di katil-katil rawatan mahupun di Unit Rawatan Rapi.

Jadi, anda perlu teruskan momentum barisan hadapan pemutus rantaian wabak, duduk rumah, kekal tenang dan sama-sama kita hapuskan COVID-19.