Hari ini genap usia Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang ke-94.

Kali kedua mengetuai barisan kerajaan negara, Dr Mahathir mengekalkan sifat tegasnya di pentas antrabangsa apabila berdepan dengan isu-isu tertentu seperti kebiasaanya sebelum ini.

Ketika berdepan dengan konflik dan sensitiviti Palestin misalnya, Dr Mahathir sememangnya dari dahulu lagi tidak memberi muka kepada Israel.

Pada awal tahun ini misalnya, beliau sekali lagi berdepan dengan isu tersebut apabila Malaysia tetap mengekalkan pendirian untuk tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan negara regim itu.

Ia menyaksikan skuad renang Paralimpik negara itu tidak dibenarkan memasuki Malaysia bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini di Kuching.

Akibatnya Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) bertindak membatalkan hak penganjuran Malaysia selaku tuan rumah kejohanan itu.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata ia bukanlah masalah bagi Malaysia untuk tidak menjadi tuan rumah sebaliknya beliau menyifatkan Malaysia berhak menyuarakan pendirian dan dasar terhadap negara Israel.


Dr Mahathir juga masih kekal sebagai salah satu figura yang sering kali tidak menyokong dan menentang dasar-dasar negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Ketika negara ‘Uncle Sam’ meningkatkan tekanan perang dagangan terhadap China, Malaysia tidak menguncupkan skala hubungan perdagangan dengan negara tembok besar itu berbanding hubungan dagang Malaysia dengan Amerika Syarikat.


Malah Malaysia secara terang-terangan mahu menambah dan meningkatkan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang.

Ketika AS melakukan pelbagai sekatan terhadap syarikat gergasi negara tembok besar itu Malaysia eningkatkan sokongan dan mengalu-alukan pelaburan China di Malaysia.

Dalam kes membabitkan syarikat Huawei misalnya, Dr Mahathir ketika berucap di Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (persidangan Nikkei) 2019 pada Mei lalu secara sinis menyatakan pendirian bahawa Malaysia akan terus komited untuk kekal menggunakan teknologi syarikat tersebut.


Malah teknologi Huawei yang dilabel oleh AS dengan risiko pengintipan itu tidak mengancam Malaysia dan terlalu kecil untuk menerima kesan tersebut.

Dr Mahathir juga menyifatkan perang dagang Amerika-China adalah satu tindakan tidak bijak dan tidak memberi manfaat kepada negara kecil selain hanya mendatangkan kesan buruk.


Ketika era 80an dahulu ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, Dr Mahathir pernah menyelar sebahagian tindakan negara Eropah yang memboikot pasaran produk kelapa sawit yang menyebabkan kejatuhan harga komoditi tersebut.

Jun 2019 yang lalu di London beliau sekali lagi mengulangi kelantangannya itu apabila menyifatkan penilaian masyarakat antarabangsa terhadap keputusan Malaysia untuk menggunakan minyak kelapa sawit sebagai tidak adil.


Dr Mahathir sekali lagi menyelar tomahan negara Eropah yang menuduh bahawa industri kelapa sawit itu telah menjejaskan ekosistem alam semulajadi.

Patah perkataan Dr Mahathir cukup sinis dan jelas buat negara Eropah untuk memahami analogi yang diberikan sebagai simbolik terhadap pendirian Malaysia terhadap isu tersebut.

"Ambil contoh Britain. Di mana Robin Hood?

"Hutan-hutan di Eropah telah dibersihkan sehingga sukar untuk menemui haiwan liar. Tetapi di Malaysia, kami masih ada harimau dan kami akan hantar anda masuk ke dalam hutan, tengok jika anda boleh keluar dengan selamat," kata beliau secara berseloroh.

Itu adalah sebahagian daripada pendirian negrawan ini di pentas antarabangsa yang cukup terkenal dan tidak gentar sekalipun terpaksa berdepan dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat.

Sebahagian negara barat yang sering menjadi proksi kepada negara polis dunia itu tentu sekali tidak senang dan melemparkan pelbagai label kepada negarawan dan pemimpin tertua di dunia ini, namun hampir kesemua majoriti negara lain terutamanya dunia ketiga dan negara Islam menganggap sosok tubuh 94 tahun ini sebagai wira dalam kebayakkan isu yang sangat disegani.

Banyak pendirian antarabangsanya di nanti, ramai juga negara kecil yang selalu menumpang suara menerusi lidahnya kerana takutkan kuasa besar dan banyak juga negara Islam yang selama ini tunduk kepada kuasa dunia terpaksa akur dan mengakui bahawa bahasa fasih Dr Mahathir mampu menjelmakan pendirian dunia Islam di pentas antarabangsa yang tidak mampu diluahkan mereka.

Selamat hari lahir ke-94 Tun Dr Mahathir!