Mereka yang sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing dingatkan supaya tidak menanggalkan wristband atau gelang tangan khas pengesanan COVID-19 sepanjang menjalani prosedur berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan memotong helang tangan itu sewenang-wenangnya itu dianggap mengingkar peraturan kuarantin dan boleh diambil tindakan undang-undang.

"Mereka tidak dibenarkan memotong wristband sepanjang tempoh kuarantin wajib selama 14 hari dan pada hari ke-13, mereka yang berada di rumah akan menjalani ujian saringan sekali lagi.

"Selepas disahkan negatif, maka barulah mereka dibebaskan untuk keluar dan wristband itu dipotong," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut Ismail Sabri memberitahu, seramai 255 individu ditempatkan di pusat kuarantin pada ketika ini kerana masih menunggu keputusan saringan.


Dalam pada itu, beliau berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sebanyak 162 tapak pembinaan diperiksa pada Rabu.

Sebanyak 24 tapak pembinaan daripadanya, kata beliau, diberi notis amaran sementara dua lagi diarah tutup serta-merta kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 704 pendatang tanpa izin (PATI) dan 125 tekong ditahan dalam Operasi Benteng yang bermula sejak 1 Mei.

Katanya, penguat kuasa turut menahan 12 individu disyaki penyeludup serta 14 kapal di sempadan negara.

"Agensi penguatkusaan juga berjaya mengusir 164 PATI, enam tekong serta 27 kapal ketika cuba membolosi sempadan negara," jelasnya.

Operasi Benteng melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).