Sebanyak 50 peratus daripada calon yang dicadangkan MCA untuk bertanding mewakili parti komponen Barisan Nasional (BN) itu pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14) terdiri daripada muka baharu dan 'orang muda', kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata senarai calon parti itu telahpun diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN dan kini hanya menunggu pengumuman calon muktamad yang dipilih untuk bertanding.

"BN kini mahu menumpukan perhatian pada golongan dan hasrat orang muda kerana kita tahu masa depan negara ini bergantung kepada generasi muda kini.

"Dan kerana itu kita lebihkan pembabitan dengan orang muda sebab kita mahu 'tenaga' dan 'kedinamikan' yang ada pada golongan muda bersama-sama pimpinan sedia ada bagi membangunkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-69 MCA Terengganu di sini pada Jumaat. Turut hadir Pengerusi MCA Terengganu Datuk Toh Chin Yau dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan dan Anggota Parlimen Bentong berkata calon-calon yang dikemukakan adalah yang berwibawa dan diyakini boleh menang.

"Ini kerana mereka terdiri daripada calon yang dipilih sendiri oleh rakyat dan bersedia memberikan sepenuh komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Beliau turut mengingatkan anggota MCA terutama golongan muda agar tidak mudah 'terganggu" dengan agenda pihak pembangkang yang sering mengapi-apikan dengan elemen kebencian dan tohmahan terhadap kerajaan pimpinan BN.

"Agenda mereka hanya mahu memecahbelahkan masyarakat dan ini akan menjadikan rakyat pasif dan tidak bersatu dan menyebabkan kita akan kalah dalam PRU kelak.

"Ini yang mereka mahukan iaitu kemenangan mudah dalam PRU apabila rakyat berpecah-belah dan akhirnya membawa kehancuran kepada negara," katanya.

-- BERNAMA