PROSES pemilihan parti bagi PAS pada tahun ini jauh berbeza berbanding proses yang sama dua tahun yang lalu.

Hanya dengan melihat pada jawatan-jawatan yang ditandingi baik di peringkat pergerakan atau pada peringkat Ahli Jawatankuasa Pusat, jelas sekali kepimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak berdepan cabaran seperti pada pemilihan parti sebelumnya.

Pertandingan jawatan yang paling mencuri tumpuan kali ini adalah perebutan bagi tiga kerusi Naib Presiden iaitu diantara tiga penyandangnya, Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad dan juga Ketua Penerangan Nasruddin Hassan Tantawi.

Jelas sekali tiada banyak perubahan akan berlaku dari segi komposisi kepimpinan yang diterajui Abdul Hadi.
Ini kerana rata-rata mereka yang menentang kepimpinannya atau tidak bersetuju dengan hala tuju parti yang dikemudinya sudah 'keluar' dari parti - sama ada hilang jawatan penting dalam parti atau sudah 'berhijrah' ke Parti Amanah Negara.

Keadaan ini memberi Abdul Hadi laluan mudah untuk membawa PAS mengikut visinya, iaitu peneraju 'blok ketiga'.

Dengan penubuhan Gagasan Sejahtera, PAS merasakan mereka mampu memberi saingan kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Persoalannya, adakah PAS mampu menambah bilangan kerusi yang dimenanginya di Parlimen berdasarkan halatuju yang direncana parti tersebut ketika ini?

Berdasarkan kajian pendapat yang dibuat badan bukan kerajaan Invoke, rata-rata pengundi merasakan Barisan Nasional atau UMNO bakal menang di kerusi-kerusi yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Malah, ada yang berpendapat PAS akan mendapat undian terendah berbanding dengan parti-parti lawannya dalam pertandingan terbabit.

Walaupun begitu, di peringkat PAS sendiri, kepimpinan parti mempamerkan keyakinan dengan mengumumkan hasrat untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengumuman tersebut juga disambut kepimpinan parti di peringkat negeri yang turut mengumumkan bilangan kerusi yang akan direbut dalam PRU 14.

Ini menunjukkan PAS begitu yakin dengan kemampuannya untuk meraih majoriti daripada undi dalam pertembungan tiga penjuru walaupun di atas kertas, kehadiran PAS akan mempunyai kemungkinan besar memecahkan segmen undi parti pembangkang seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.

Muktamar PAS Pusat kali ini bakal mengukuhkan pendekatan bagaimana yang akan diambil barisan kepimpinan dalam menentukan hala tuju parti Islamik tersebut dalam PRU yang seterusnya memandangkan ini adalah pemilihan parti terakhir sebelum PRU 14.

Selain itu, persoalan kerjasama antara PAS dan PKR dijangka bakal terjawab pada penghujung Muktamar kali ini.

Berdasarkan tindakan yang diambil beberapa bahagian PAS seperti di Pulau Pinang, tahaluf siyasi atau kerjasama politik diantara kedua-dua parti tersebut bakal berakhir dalam masa beberapa hari lagi.
Keadaan ini bakal menggugat Kerajaan Negeri Selangor dimana PAS merupakan anggota pentadbiran negeri.

Walaupun sebelum ini, PAS dan DAP sudah memutuskan kerjasama antara satu sama lain, ramai berpendapat PAS masih berada dalam Kerajaan Selangor berdasarkan kerjasamanya dengan PKR.

Jika PAS memutuskan hubungannya dengan PKR secara rasmi, keadaan ini bakal memberi masalah baru buat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

Walaupun Pakatan Harapan masih memiliki majoriti dalam Dewan Unangan Negeri Selangor, pengakhiran kerjasama antara PAS dan PKR perlu ditangani dengan betul oleh Azmin.

Adakah beliau akan terus membenarkan PAS menganggotai pentadbiran negeri atau beliau akan merombak senarai exco?

Walau apa pun keputusan yang akan dicapai PAS nanti, ia pasti akan memberi impak kepada dinamik politik negara menjelang PRU ke-14.

Lebih-lebih lagi jika PAS tidak menjalinkan apa-apa kerjasama dengan mana-mana parti utama dalam arena politik negara, ia akan meletakkan parti itu di sebuah posisi yang 'terpencil'.

Sejauh mana PAS mampu mencapai kejayaan dalam perjuangannya secara bersendirian tanpa sokongan parti utama?

Adakah ia akan melonjakkan parti tersebut ke posisi yang lebih baik atau memakan diri sendiri?

Hanya masa akan menentukannya.


*Hafiz adalah wartawan Astro AWANI yang mengikuti rapat perkembangan politik semasa tanah air. Beliau boleh dihubungi di [email protected]

**Kandungan artikel ini adalah pandangan peribadi mengikut pemerhatian penulis, dan tidak semestinya mewakili lidah pengarang Astro AWANI.