Ahli UMNO tidak perlu untuk berasa terkilan dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersekongkol dengan DAP, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Beliau berkata, perkara itu adalah lumrah dalam permainan politik dan terpulang kepada rakyat untuk menilai perlakuan politik Dr Mahathir yang kini sanggup berada di atas pentas DAP, parti rasis yang beliau selama ini amat memusuhinya.

"Rakyat akan melihat sejauh mana baik buruknya tindakan Dr Mahathir itu, kita serahkan kepada rakyat untuk menilainya. Bagi kita UMNO perlu dipertahankan waima apa pun yang terjadi.

"Dr Mahathir juga pernah berada di pentas PAS ketika dipecat daripada UMNO oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj suatu ketika dulu.

"Jadi tidak payah kita hendak kecil hati, biarkan, yang penting kita (UMNO) sudah bersedia untuk menentang pakatan pembangkang termasuk DAP," tegasnya dalam catatan terbaharu dalam blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Jelasnya, apa yang dilakukan Dr Mahathir adalah percaturan dan permainan politik.

"Hari ini kawan, esok lawan dan begitulah sebaliknya, jadi tidak perlu untuk kita berasa hati dengan tindakan Dr Mahathir berbaik dengan DAP.

"Ahli-ahli UMNO tidak perlu berterusan untuk mempertikaikan tindakan tersebut kerana mereka mempunyai tanggungjawab lebih penting kepada parti.

"Daripada kita melayan isu Dr Mahathir, adalah lebih baik kita berusaha menguatkan jentera parti sebagai persediaan berdepan dengan PRU-14 akan datang," ujarnya.

Katanya lagi, sebagai ahli UMNO, paling penting perlu buat kerja untuk parti, sayangkan parti dan setia kepada pemimpin parti.

"Oleh sebab itu, apabila ramai yang terluka dengan tindakan Dr Mahathir bersama DAP, tetapi terpaksa akur kerana bekas Perdana Menteri itu mempunyai hak untuk berbuat demikian.

"Sebagai bekas Perdana Menteri yang berjasa kepada negara tetapi kita hormati, tetapi apabila dia memilih berada di gelanggang lawan, mahu tidak mahu dia terpaksa berdepan dengan tentangan UMNO," jelasnya.

Syed Ali menjelaskan, dalam keadaan marah Dr Mahathir telah mengambil tindakan untuk meninggalkan UMNO dan dalam keadaan marah juga beliau sanggup bersekongkol dengan DAP.

"Apabila dalam keadaan marah, apa juga keputusan dan tindakan dan kadangkala tidak berbaloi," ujarnya lagi.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan itu yakin, rakyat sudah bijak untuk menilai apakah percaturan politik mantan Presiden UMNO itu betul atau salah.

"Tidak usah kita berasa gusar atau kecil hati, biarlah rakyat nilai sendiri permainan Dr Mahathir.

"Kehadiran Dr Mahathir pada konvensyen DAP baru-baru ini bukan petanda berlakunya era politik baru di negara ini.

"Bukan era baru, itu perkara biasa untuk seteru UMNO memuji pembangkang (DAP) yang pernah ditentangnya selama ini," katanya.

Mengenai tindakan Dr Mahathir memuji DAP, Syed Ali berkata apabila seseorang itu berada di dalam gelanggang yang pernah bermusuh maka ianya perlu disesuaikan dirinya dengan bekas seteru politiknya.

"Oleh sebab itu, pada hemat saya tindakan Dr Mahathir melontar pujian walaupun melangit terhadap DAP, tidak memberi kesan kepada UMNO.

"Bagaimanapun tidak perlu untuk ahli-ahli UMNO mengecam beliau kerana UMNO sebenarnya tidak ada masa untuk melayan kerenah politik pembangkang," katanya.

Justeru jelas Syed Ali, beliau mahu seluruh jentera parti bersiap-siaga untuk berdepan dengan serangan musuh secara berskala besar, bukannya memberi tumpuan terhadap perlakuan politik Dr Mahathir.

"Biarkan dia, apa yang penting kita hadapi musuh secara menyeluruh, UMNO perlu bertegas dalam gerak kerja untuk memenangi PRU ke-14.

"UMNO kini mempunyai tugas besar untuk memastikan kemenangan lebih cemerlang pada PRU akan datang," ujarnya.