Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, keputusan itu akan dimuktamadkan esok.
"Berita itu betul, sebab fikrah dan pemikiran itu memang sudah selari tetapi ada beberapa perkara teknikal yang melibatkan keluarga yang sedang diuruskan.
"Esok akan menyelesaikan perundingan, pengumuman tidak akan buat lagi, perundingan sedang berlangsung," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Khabar angin kuat mengatakan, anak bekas Mursyidul Am Pas itu akan menjadi calon Pakatan Harapan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri.
Sebelum ini anak Allahyarham Nik Aziz, Nik Omar dikatakan berminat untuk menyertai Amanah namun di halang keluarga.
Selain itu, Nik Omar turut tersenarai sebagai calon menteri besar bersama Husam Musa sekiranya PH menang di Kelantan.
Bagaimanapun menurut Wan Rahim, tiada sebarang keputusan dimuktamadkan setakat ini.
“Calon Menteri Besar tidak bincang lagi, kalau ikut Penasihat DAP, Lim Kit Siang kata Husam sebagai Menteri Besar di negeri ini. Husam pula pernah cakap di hadapan rakyat sekiranya Nik Omar bertanding (tiket Amanah) dan menang, beliau akan diangkat sebagai Menteri Besar.
“Ini supaya Nik Omar boleh menyambung legasi Tok Guru di negeri ini. Bagaimanapun, keputusan itu akan diputuskan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan,” katanya.