Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Selasa menafikan laporan yang mengaitkan namanya sebagai antara individu yang berusaha mewujudkan kerajaan baharu dengan kerjasama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang didakwa mengetuai kempen berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak menghentikan perbincangan tentang peralihan kuasa dan menumpukan sepenuh masa untuk membangunkan ekonomi dan membantu rakyat selain memberikan sokongan yang padu kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus memimpin negara.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata ini bagi memberi jaminan kepada pelabur-pelabur, bahawa politik Malaysia berada dalam keadaan stabil dan ekonomi negara sedang beralih ke landasan yang betul, sekali gus akan mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

"Perkara ini juga akan membolehkan lebih banyak peluang pekerjaaan untuk anak-anak kita diwujudkan dan memberikan kemakmuran kepada semua dan inilah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama.

" ...jadi mengapa perkara ini digembar-gemburkan... saya minta media baik yang selalu menjolok-jolok pemimpin untuk memberi komen, hentikan kerana ia akan menjejaskan ekonomi negara, terlalu banyak ketidaktentuan di luar sana, pelabur-pelabur asing, pelabur-pelabur domestik terlalu bimbang kalau keadaan ini berterusan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen pada Selasa.

Azmin berkata semua pihak perlu menghormati mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu dan membiarkan Dr Mahathir menghabiskan pentadbirannya sebagai perdana menteri sehingga selesai penggal.

-- BERNAMA