Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan setakat ini beliau belum menerima sebarang notis pemecatan jawatan Menteri Besar.

Beliau antara lain menyifatkan desas-desus mengatakan beliau akan dipecat sekadar khabar angin semata-mata.

"List ni macam-macamlah list ... selagi benda tu tak menjadi kenyataan saya pun tak bolehlah nak bagi respon saya. Tengoklah macam macam yang dihantar melalui WhatsApp dan sebagainya setakat ni belum ada apa-apa kenyataan dari mana-mana pihak khususnya pucuk pimpinan," kata Mukhriz, sebagai mengulas senarai tujuh pemimpin UMNO bakal dipecat yang tersebar luas di media sosial pada Rabu.


Satu mesej yang dikesan tersebar luas sejak semalam mendakwa mesyuarat majlis tertinggi UMNO pada 9 September ini akan memutuskan pemecatan tujuh orang pemimpinnya.

Selain Mukhriz, antara nama yang berada di dalam senarai tersebut ialah Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal.