Siasatan ke atas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana berucap di luar Perhimpunan Agung UMNO tetap diteruskan, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, ia akan tetap dilakukan walaupun jika ada permohonan maaf daripada pemimpin nombor dua parti itu.

"Siasatan mesti diteruskan. Kalaulah salah tetap salah. Kalau siasat mereka akan siasat. Ini tidak ada kena-mengena dengan minta maaf atau tidak, kalau ada permintaan maaf," katanya dalam satu sidang media Naib Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Pada 7 Disember lalu, Muhyiddin berucap pada satu majlis perhimpunan yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Timbalan Presiden itu dilihat telah melampaui batasan ketika berucap dan beliau boleh hilang jawatan parti akibat perbuatan itu.

Sementara itu, ditanya ketiadaan seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal semasa sidang media hari ini, ini jawapan beliau:

"Kerusi sebelah Datuk Seri Zahid ini tetap diisi di atas pentas, kita juga tidak ada masalah langsung. Di atas pentas itu saya rasa lebih penting daripada sidang media ini," jelas Menteri Pertahanan itu.

Katanya, isu sama ada UMNO memberi ruang kemaafan kepada Shafie itu tidak pernah timbul kerana parti itu sentiasa bersikap terbuka.

"UMNO sentiasa terbuka, tetapi banyak berkisar kepada tuan punya badan juga. Keduanya, apabila kita memikirkan masa depan parti, ia penting untuk semua pemimpin-pemimpin yang berada dalam keadaan kadang -kala di persimpangan atau terlanjur. Ia mengambil masa sedikit untuk kita memperkukuhkan dan merapatkan barisan kita.

"Naib Presiden itu pakai baju merah bersama-sama kita pada hari pertama dan saya tengok tidak kekok langsung seperti apa yang diramalkan oleh ramai media sebelum ini," tambah Hishammuddin.