Keputusan Pas untuk membentuk blok baharu pembangkang tidak akan menjejaskan kerajaan negeri Selangor, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan apa yang dilakukan Pas adalah selaras dengan sistem demokrasi yang tidak melarang pakatan atau gabungan mana-mana parti politik.

"Dalam sistem demokrasi, mereka boleh bentuk pakatan dan gabungan, itu hak mana-mana parti dan terpulang kepada rakyat untuk menerima atau sebaliknya," kata Mohamed Azmin selepas Program Half Day River Cruise Sungai Sepang Besar bersama Menteri Besar Selangor di sini hari ini.

Katanya lagi, kerajaan Selangor tetap kukuh dan akan terus melaksanakan mandat yang diberi rakyat pada pilihan raya umum lalu.

"Kami ada tanggungjawab bagi memastikan mandat PRU ke-13 perlu dilaksanakan dan kami akan sentiasa bekerja kuat," jelasnya.

Sebelum ini, Pas mengumumkan akan membentuk blok baharu pembangkang pada 16 Mac, menjadikan kumpulan itu blok pakatan pembangkang yang ketiga di negara ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan menjalin kerjasama dengan sebuah parti bagi memperkukuhkan kedudukannya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan parti itu.