Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata manifesto itu menggariskan lima teras utama yang akan menjadi pemacu kemajuan negeri Johor.
"Kita tidak akan biarkan Johor sekadar menjadi halaman belakang kepada sesiapa pun. Apatah lagi sekadar menjadi pemerhati Singapura.
"Jadi, dalam perkara ini, Johor yang jolokannya adalah ‘harimau selatan’, akan mula menunjukkan taring dan belangnya. Misi spesifik ini saya gelarkan sebagai, ‘Mengejar Singa’," katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika membentangkan manifesto BN Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) di sini, hari ini.
Manifesto BN Johor bertemakan Team Johor Untuk Dekad Baharu: Tawaran Masa Hadapan yang merangkumi 230 tawaran kepada rakyat negeri ini dengan lima teras utama dikenali sebagai Johor Hi-5.
Antara tawaran yang mendapat perhatian adalah pembinaan taman tema sains fiksyen pertama di dunia, Sci-Fi Universe pada tahun 2019 dengan pelaburan RM400 juta.
BN Johor juga akan memperkenalkan Insurans Bencana Alam Johor untuk mangsa bencana alam selain menambah baik sistem amaran banjir.
"Ini adalah tawaran kami dari pasukan BN negeri dan tawaran ini disusun dengan dipimpin oleh tiga sasaran iaitu memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan bangsa Johor secara keseluruhannya, memposisikan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu selatan dan mempersiap serta melonjakkan Johor sebagai pesaing kepada semua, terutamanya jiran kita Singapura," katanya.
Mohamed Khaled turut berjanji mewajibkan pengisytiharan harta dan aset untuk Exco dan penjawat awam negeri kepada Menteri Besar, mewajibkan lafaz Ikrar Anti Rasuah dalam kalangan 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan semua 5,000 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain lima kluster utama, BN Johor turut menawarkan tawaran pada Orang Muda Johor (OMJ), wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU). dan komuniti FELDA di Johor.
Dalam usaha menyokong strategi FELDA 2.0, BN Johor turut berjanji akan menyelesaikan isu perwarisan di FELDA dalam tempoh lima tahun.