Walaupun Wanita UMNO sentiasa digeruni pihak lawan kerana statusnya sebagai ‘tulang belakang’ parti, cabaran yang dihadapi dalam lanskap politik masa kini adalah jauh berbeza memandangkan parti itu bukan lagi kerajaan memerintah, kata ketuanya yang baharu Datuk Noraini Ahmad.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, perkara pertama yang akan beliau lakukan ialah merapatkan kembali saf dalam pergerakan itu, serta merangka gerak kerja dan strategi dalam usaha menambat kembali hati rakyat, dalam tempoh tiga tahun ini.

“Kerana itu, perlunya saya dan rakan kepimpinan baru, teruskan legasi (Wanita UMNO) ini, dalam keadaan sekarang ini Barisan Nasional bukan lagi kerajaan, maka ia akan jadi cabaran untuk kembalikan keyakinan rakyat,” katanya kepada sidang media selepas pengumuman penuh keputusan pemilihan Sayap Pergerakan UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusof di Menara Dato Onn, malam tadi.


Dalam pemilihan itu, Noraini menewaskan dua pencabarnya iaitu ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, dan bekas Ketua Wanita UMNO Tan Sri Dr Zaharah Sulaiman.

Dalam usaha memperkasakan suara UMNO dalam Dewan Rakyat, Noraini berkata, sayap Wanita masih mempunyai enam ahli Parlimen yang sebelum ini memang dikenali sebagai lantang dalam menyuarakan kepentingan rakyat.

“Bila ada change of government, for the first time ever, kita jadi pembangkang, peranan kita akan agihkan siapa ada kepakaran untuk menjuarai isu-isu tertentu.

“Saya percaya, Wanita Barisan Nasional sentiasa ada suara yang sangat vokal, terutamanya dari UMNO. Dan dengan jumlah keseluruhan 53 ahli Parlimen dari parti ini, saya percaya kita boleh memainkan peranan itu dengan berkesan,” ujarnya lagi

Untuk rekod, selain Noraini, terdapat lima lagi ahli Parlimen dari Wanita UMNO iaitu Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Halimah Mohamed Sadique, Datuk Seri Azalina Othman Ismail (Pengerang), dan Datuk Azizah Mohd Dun (Tenom).