Dakwaan bahawa UMNO akan diharamkan dalam masa terdekat berikutan penangguhan pemilihan parti itu adalah tidak benar dan sengaja ditularkan bagi mengelirukan orang ramai, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya UMNO masih berkuat kuasa di semua peringkat dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana terkandung dalam asas dan tujuan penubuhannya.

"Dakwaan itu sengaja ditularkan bagi mengelirukan orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO dan para penyokongnya selain usaha pihak tertentu untuk memburukkan parti," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tengku Adnan turut memaklumkan bahawa Pemilihan UMNO yang diputuskan ditangguhkan sebelum ini akan diadakan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.

"Ini selaras dengan kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) . Ini adalah merujuk kepada Seksyen 13 A (4) Akta Pertubuhan 1966, Pendaftaran Pertubuhan berkuasa untuk melanjutkan tarikh atau waktu pemilihan pertubuhan berdaftar dengan syarat suatu permohonan bertulis dibuat," katanya.

Tengku Adnan berkata penangguhan tersebut adalah bagi memastikan kesempurnaan perjalanan parti selaras Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO dengan proses pemilihan dalam UMNO berjalan lancar dan juga mengambil kira faktor keadaan semasa politik parti khususnya dan negara amnya.

Sehubungan itu, Tengku Adnan menasihatkan orang ramai khususnya anggota UMNO agar tidak mudah terpedaya dengan penularan berita berkaitan parti sebaliknya membuat semakan dengan Ibu Pejabat UMNO terlebih dahulu.

-- BERNAMA