DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah akan terus menggunakan logo parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong berkata, DAP dan PKR di negeri ini telah bersetuju untuk menggunakan logo parti masing-masing serta tidak mengikut keputusan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami akan terus menggunakan logo parti masing-masing pada PRU14 ini. Ini kerana di Sabah (berbeza) tiada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang akan bertanding.

"Oleh itu, tiada sebab untuk kami menggunakan satu logo sahaja iaitu logo PKR. Semua parti komponen Pakatan Harapan di Sabah diluluskan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.


BACA. FAHAM.UNDI: Layari laman #MalaysiaMemilih untuk liputan PRU14 yang komprehensif


DAP dan PKR akan bersama-sama Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk meneruskan tradisi sebagai pembangkang pada PRU14.

Baru-baru ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ada menerima tawaran Pakatan Harapan (PH) untuk berbincang mengenai peruntukan kerusi bagi PRU14.

Sementara itu, perkara sama turut dinyatakan Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew apabila PKR dan DAP akan menggunakan logo masing-masing pada pilihan raya umum kali ini.

Jumaat lalu, Pakatan Harapan (PH) mengesahkan keempat-empat parti dalam gabungan itu akan menggunakan logo PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).