Selain isu utama berkaitan hak orang asli yang jadi tumpuan, calon-calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highands berjanji akan turut memperjuangkan beberapa isu lain yang tidak kurang pentingnya.

Antaranya termasuk isu pembangunan setempat, pendidikan dan pertanian.

Demikian yang disuarakan tiga daripada empat calon PRK Cameron Highands dalam Debat AWANI edisi khas anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang berlangsung malam tadi.

Calon Pakatan Harapan, M. Manogaran yakin akan dapat menunaikan janjinya terutama bagi memperhebat pembangunan di Cameron Highlands.


Bagi calon bebas, Wong Seng Yee, isu pertanian di Cameron Highlands tetap jadi matlamat utama sekiranya beliau berjaya memenangi PRK itu.


Calon bebas, Salehuddin Ab Talib pula akan melaksanakan slogan ‘suara rakyat untuk rakyat’ sekiranya menang PRK itu.


Sementara itu, calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor tidak menyertai debat ini, dipercayai susulan kejadian Senator PH Bob Manolan yang dilaporkan pernah mengugut ketua kampung orang asli.

Debat bertajuk 'Apa perubahan yang diperlukan Cameron Highlands' tersebut julung-julung kali diadakan dalam sejarah pilihan raya negara.

Moderatornya ialah felo kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Faisal S. Hazis.