Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan perjuangannya dalam politik mempunyai objektif besar melangkaui kepentingan peribadi yang menyebabkan hatinya terpaut pada parti PKR.

Saifuddin menganggap hijrah kecil yang dilakukannya merupakan satu keputusan besar dalam menuju perubahan sebenar.

"Saya sertai politik dengan niat dan idelisme yang jelas untuk satu perjuangan dengan objektif yang jauh lebih tinggi daripada kepentingan peribadi -- perjuangan untuk membina sebuah negara Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat.

"Hati saya terpaut pada PKR yang kelihatan mencuba dengan serius mengamalkan model politik pelbagai kaum yang sederhana.

"Jadi, untuk mengubah konfigurasi sistem politik dua perkara perlu dilakukan iaitu perubahan politik dan reformasi institusi," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Ketika ditemui Astro AWANI, Saifuddin menjelaskan dia menyertai UMNO pada 1986 kerana Barisan Nasional (BN) mengamalkan politik pelbagai kaum.

Namun, katanya, politik pelbagai kaum dalam BN tidak begitu jelas dan parti itu perlu mengubah model politiknya.

"Model BN bersifat ras yang melibatkan tawar-menawar antara ras dan pembahagian tugas ikut ras.

"Saya fikir itu model yang sesuai untuk waktu baru merdeka.

"Sekarang masih boleh berjalan tetapi model lain diperlukan iaitu politik bersama. Politik yang sifatnya buat kerja sebagai satu rakyat. Jadi itu yang perlu dilakukan sekarang," tambahnya.

Saifuddin turut memberitahu Astro AWANI, keputusannya hari ini bukanlah kerana merajuk atau terasa hati dengan UMNO.

"Kalau saya merajuk, selepas kalah MT dan Timbalan Ketua Bahagian terus saya tinggalkan UMNO.

"Saya tak merajuk pun," katanya.