Tiada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sebagaimana yang heboh diperkatakan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam sidang media di bangunan Komtar pada Rabu berkata, cadangan berhubung perkara itu masih lagi di peringkat perbincangan.

Jelas Lim, perkara itu belum diputuskan sebaliknya menegaskan beliau memerlukan masa untuk membincangkan isu tersebut dengan lebih lanjut.

DAP, katanya, tidak akan membuat keputusan secara bersendirian sebaliknya akan terus berbincang dengan sekutu mereka.

“(Ini) satu isu yang harus dibincangkan secara sulit, tetapi ada kebocoran maklumat.

"Kami akan tetap meneruskan perbincangan, namun bukan secara bersendirian,” kata Lim.

Beliau berkata demikian selepas membuat pertemuan bagi membincangkan cadangan DAP untuk membubarkan DUN bersama Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Hadir sama, Datuk Saifuddin Nasution

Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Azmin berkata pihaknya akan terus berbincang dengan semua parti dalam Pakatan Harapan berhubung perkara itu.

Katanya, pertemuan yang diadakan bukan satu pertemuan luar biasa kerana Pakatan Harapan sering berbincang bagi menyelesaikan isu serius seperti pembubaran DUN.

Sebelum ini spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya mengejut di Pulau Pinang akan diadakan selepas Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat membuat keputusan mengenai perkara itu.

PKR pada Selasa berpendirian bahawa mereka belum cukup diyakini dengan tujuan atau matlamat mengadakan pilihan raya tergempar di Pulau Pinang.

Pilihan raya negeri itu adalah satu cara untuk mengukur sokongan rakyat terhadap DAP dan Lim Guan Eng yang berdepan dua pertuduhan rasuah berkaitan pembelian banglo berharga RM2.8 juta di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.