Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpendapat Lembaga Disiplin UMNO akan membuat pertimbangan sewajarnya berhubung tindakan Datuk Saifuddin Abdullah menghadiri sidang meja bulat Pakatan Harapan.

Jelas Reezal Merican, ahli dan pemimpin UMNO perlu memberi ruang kepada lembaga disiplin parti untuk mengkaji keterlibatan bekas ahli majlis tertinggi UMNO itu di dalam program anjuran pembangkang.

"Kalau keterlibatan dalam program pembangkang itu adalah untuk pertahankan posisi kerajaan dalam dasar yang dilaksanakan.

"Maka ia bukanlah menjadi kesalahan, tapi kalau kehadiran memberi impak yang dilihat merosakkan imej parti dan juga kerajaan, saya rasa anybody with the right frame of mind will say ia amat tidak wajar dan merupakan satu benda yang bagi saya satu kesalahan," kata Reezal Merican.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada majlis penyerahan kunci rumah projek pembinaan semula rumah oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat di Kampung Permatang Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis berkata Saifuddin tidak sepatutnya menghadiri sidang meja bulat pembangkang yang diadakan untuk memuktamadkan pembentukan Pakatan Harapan.

Pengerusi Tribunal Disiplin UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas pula berkata, tiada salahnya bagi mana-mana anggota parti menghadiri majlis anjuran parti lain.

Namun secara peribadi, Megat Najmuddin berpendapat perkara itu tidak seharusnya berlaku.