Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya terdapat menteri kanan kerajaan yang meletak jawatan.

Katanya, 'cerita nakal' seperti itu sengaja ditimbulkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya ketika pilihan raya semakin hampir.

"Dekat- dekat pilihan raya ini macam-macamlah orang nakal sengaja menimbulkan cerita yang bukan-bukan. Jadi kita harap rakyat Malaysia tidak terpesong dengan berita-berita sebegini yang disebarkan melalui media sosial," katanya kepada pemberita selepas majlis menghargai petugas-petugas banjir di sini malam ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali melalui status Twitternya hari ini bermain teka-teki berhubung kedudukan seorang menteri kanan kerajaan yang didakwanya meletak jawatan.

Menurut Mohamad Azmin, Menteri terbabit melepaskan jawatannya kerana tidak mahu mahu bersubahat dalam isu 1Malaysia Developement Bhd. (1MDB).

Bagaimanapun melalui status Twitter tersebut, Mohamad Azmin tidak menyatakan secara jelas menteri berkenaan, sebaliknya sekadar melontarkan pertanyaan.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman Facebook dan Twitter miliknya turut menafikan terdapat menteri yang memaklumkan kepada beliau untuk meletak jawatan.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, khabar angin tersebut langsung tidak menjejaskan semangat kerajaan untuk terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat.