'Kalau saya Presiden UMNO, saya singkir kamu sebab IQ macam lobak', kata KJ kepada Lokman
Haider Yutim
November 4, 2018 18:57 MYT
November 4, 2018 18:57 MYT
Perbalahan di media sosial antara Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam terus berlarutan.
Terbaharu, Lokman menyerang Khairy selepas beliau memuat naik video sesi debatnya bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai kelebihan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang rendah berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di Dewan Rakyat.
Khairy membalas kenyataan tersebut dengan memberi amaran kepada Lokman supaya berdoa beliau tidak betul-betul menjadi Presiden UMNO.
“Baik kamu berdoa agar saya tidak menjadi Presiden UMNO. Perkara pertama saya akan lakukan ialah menyingkirkan kamu kerana mempunyai IQ seperti lobak merah,” kata bekas ketua Pemuda UMNO itu.
Pertelingkahan di Twitter itu bermula sejak semalam apabila Lokman membidas Khairy kerana menempelak kenyataan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu adalah disebabkan fitnah dan janji palsu Pakatan Harapan (PH).
Khairy sebaliknya membalas tweet itu dengan menyatakan kekalahan BN pada PRU14 adalah disebabkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“We lost because of 1MDB. The end (Kita kalah kerana 1MDB. Habis)”, ujar Khairy.
Lokman membalas kenyataan itu dengan mengatakan bahawa pada ketika itu Najib mempunyai ketua pemuda yang bodoh dan tidak pernah membuat kajian tentang 1MDB.
“Apa nak buat, pada masa itu Najib mempunyai ketua pemuda yang bodoh yang tidak pernah kaji mengenai 1MDB dan menerangkannya kepada umum.
“Dia hanya tahu bagaimana hendak pilih warna yang sesuai untuk stokinnya,” kata Lokman.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Barisan Nasional
#GST
#Khairy Jamaluddin
#Lim Guan Eng
#Lokman Adam
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#pilihan raya umum
#SST
#Twitter
#UMNO