Kehadiran Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal memantapkan suara Pakatan Harapan (PH) di Parlimen, ujar penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi.

Pada masa sama, pengalaman dan kredibiliti bekas timbalan perdana menteri itu akan dapat dimanfaatkan untuk membantu Ahli Parlimen lain agar lebih berfungsi dan berkesan.

Reformasi yang dilakukan Anwar juga akan turut memastikan isu-isu penting diketengahkan dan dibincangkan di Dewan Rakyat, ujarnya.

BACA: Selepas angkat sumpah, Anwar rencana reformasi Parlimen

"Segala isu yang selama ini disembunyikan atau diketepikan, kini diberikan ruang yang luas. Pada masa sama, perbincangan di Dewan Rakyat itu dipandu agar lebih santun, tertib, mempunyai data, fakta dan bukan auta.

"Jadi perbincangan Parlimen yang bernas diperlukan dan kita faham ada Ahli Parlimen yang agak baru dan kurang pengalaman. Maka tugas Anwar untuk membimbing kelompok ini agar mereka ini boleh berfungsi dengan lebih baik lagi," kata Awang Azman semasa dihubungi Astro AWANI hari ini.


Selain itu, Anwar diyakini akan memastikan 'check and balance' dalam fungsi eksekutif, perundangan dan kehakiman.

"Anwar dijangka akan memastikan badan eksekutif, perundangan dan kehakiman berfungsi dengan baik dan memastikan ketiga-tiganya tidak bertindan serta mengelakkan situasi monopoli atau penguasaan daripada mana-mana fungsi tersebut," ujarnya.

Tambahnya, dengan pendekatan berkenaan, badan eksekutif akan terus memainkan peranannya dan badan kehakiman mempunyai sempadan tersendiri.

"Maka jika ada unsur yang cuba memanipulasikan antara tiga fungsi ini, ia boleh menjejaskan sistem pentadbiran negara. Jadi, peranan Anwar penting kerana reformasi di Parlimen memerlukan pemimpin yang berkarisma, berpengalaman dan memainkan peranan yang dinamik," tambah beliau.

Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang mula bersidang hari ini turut menyaksikan Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson yang baharu.