Keluhuran undang-undang tidak lagi diamalkan di negara ini apabila Pakatan Harapan yang mendapat majoriti dinafikan haknya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir menegaskan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri menjadikan pihak yang kalah dalam pilihan raya umum yang lalu dapat membentuk kerajaan manakala yang menang tidak menjadi kerajaan.

“Kita dapati keluhuran undang-udang tidak lagi diamalkan di negara ini apabila pihak yang kalah dalam pilihanraya yang lalu membentuk kerajaan manakala yang menang gagal menubuhkan kerajaan,” katanya pada sidang media di Yayasan Al Bukhary, hari ini.

Dalam sidang media tersebut, Dr Mahathir mengulangi bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri seterusnya membentuk kerajaan.

Beliau juga mempertahankan tindakannya meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh sebelum ini.


“Saya tidak ada pilihan kerana Pakatan Harapan sudah tidak mempunyai majoriti untuk jadi kerajaan apabila Bersatu keluar dari gabungan itu,” katanya.

BACA: Azmin ada agenda sendiri, Muhyiddin khianati saya - Dr Mahathir

BACA: Agong enggan jumpa saya lagi - Tun Mahathir




Pada 24 Feb yang lalu, Dr Mahathir menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

[LAPOR LANGSUNG] MY2020 Muhyiddin PM-8

Yang di Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, baginda telah berkenan untuk melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Semalam Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipilih sebagai perdana menteri kelapan.

Bagaimanapun PH mendakwa sokongan dari ahli parlimen lebih memihak kepada Dr Mahathir untuk dilantik sebagai perdana menteri kelapan.