Selepas 10 hari, banyak pihak tertunggu-tunggu apakah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui cadangan gabungan pembangkang yang mahu melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor membangkitkan perkara tersebut setelah Anwar tidak memberikan apa-apa kenyataan berhubung pegumuman pakatan pembangkang lebih 10 hari yang lalu.

Kata Rizal, sikap menyepi Anwar ini juga menandakan keretakan yang semakin parah dalam Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

"Apakah Anwar sudah tahu mengenai rancangan Mahathir untuk melantik anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai PM selepas beliau mengisinya untuk setahun dua sahaja dengan Anwar akan dikira sudah begitu tua pada ketika itu.

"Apakah sikap menyepi Anwar itu juga menandakan keretakan yang semakin parah dalam Pakatan Harapan menjelang PRU14, setelah semua orang tahu DAP tidak lagi menyokong Anwar sebagai PM, sebaliknya makin cenderung kepada Mahathir," kata Rizal dalam satu kenyataan hari ini.

Rizal juga mendakwa DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang 'bergasak' dalam menamakan calon-calon menteri di kementerian utama antaranya Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Itu belum termasuk 'perebutan' yang bakal berlaku dalam kerusi ketua menteri Pulau Pinang jika Lim Guan Eng dimasukkan ke penjara dalam skandal banglonya dengan DAP nak pertahan dan PKR sudah kemaruk nak menduduki kerusi tersebut," katanya lagi.

Baru-baru ini Pakatan Harapan telah menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Sebelum ini pemimpin pembangkang sepakat melantik Anwar sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan berjaya menguasai Malaysia.