Ketika ada pihak yang menyuarakan pandangan sudah tiba masanya Pulau Pinang mempunyai seorang ketua menteri berbangsa Melayu, ketua menterinya Lim Guan Eng seolah-olah tidak senang apabila isu yang membabitkan jawatan yang disandangnya itu dibangkitkan sekali lagi.

Beliau berkata, tindakan pihak berkenaan yang cuba membangkitkan isu perkauman dalam soal pentadbiran negeri yang ditadbirnya kini seperti mengulangi dakwaan bahawa DAP mahu seorang berbangsa Cina menjadi Perdana Menteri.

Menyifatkan tindakan sedemikian sebagai ‘limpahan perkauman’, Setiausaha Agung DAP itu enggan mengulas panjang sebaliknya menegaskan tidak mahu terperangkap dalam ‘permainan politik perkauman’.

"Saya berpendapat ada pihak yang cuba memainkan isu perkauman itu. Sama seperti yang mereka mendakwa kita mahu seorang berbangsa Cina mahu menjadi perdana menteri, sungguh pun ia tidak dituntut oleh mana-mana pihak termasuk dari DAP.

"DAP sentiasa menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tentu apabila dia tidak boleh (menjadi perdana menteri) kita akan berbincang dalam Pakatan Harapan. Pastinya ia adalah dalam kalangan orang Melayu," katanya selepas merasmikan Program 'Forest Bathing' Hutan Simpan Bukit Juru di sini pada Sabtu.



Isu Pulau Pinang perlu mempunyai seorang ketua menteri Melayu dilaporkan sebuah portal berita sebelum ini yang berpandangan bahawa sudah tiba masanya negeri itu ditadbir oleh seorang Melayu selepas sekian lama ia ditadbir oleh ketua menteri berbangsa Cina.

Lapor penulis politik di portal berkenaan, kalau pun calon ketua Menteri itu kelak bukan daripada UMNO-BN, ia juga boleh datang daripada mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

Untuk rekod, Ketua Menteri pertama Pulau Pinang adalah daripada MCA sebelum beralih kepada Gerakan pada 1969.

Kemudian Gerakan menyertai BN dengan seorang ketua menteri paling lama yang memegang jawatan sehingga empat penggal iaitu Dr Koh Tsu Koon.

Pada 2008, BN kalah dan kini sudah dua penggal Lim Guan Eng dari DAP menjadi ketua menteri.