Hari ini, DAP menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mengumumkan gabungan parti pembangkang yang dibentuk sejak 2008 dan dikenali sebagai Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud.

“DAP akan terus bergerak ke arah muafakat baru lebih berprinsip dan lebih meluas yang akan muncul untuk mengisi kekosongan politik serta mampu menyalakan semula harapan ke arah perubahan untuk menjadikan impian Malaysia kita sebuah realiti, serta masa depan lebih baik untuk semua,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya yang mengumumkan berakhirnya gabungan pembangkang yang dibentuk sejak 2008.

BACA: Pakatan Rakyat sudah berkubur - Guan Eng

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan pada Isnin mengakui Pakatan Rakyat berdepan masalah dalaman yang memerlukan perhatian segera pemimpin tertinggi supaya ia ditangani secara bijaksana.

"Wujud keperluan mendesak untuk menyemak bentuk kerjasama dengan tujuan memperkukuh gabungan parti politik yang progresif dan berpegang kepada Dasar Bersama PR, sehaluan dengan aspirasi rakyat yang terus menuntut perubahan.

"Maka PKR dengan ini mencadangkan perbincangan perlu diteruskan dengan parti politik dan juga badan bukan kerajaan dalam kerangka besar masyarakat madani lainnya demi merangka hala tuju dan masa depan untuk membina Malaysia yang gagah," kata Ketua Pembangkang di Parlimen itu.

Kenyataan Wan Azizah dan Guan Eng itu seolah-olah memberi isyarat bahawa PKR dan DAP sebenarnya mengharapkan wujud sebuah parti baharu yang boleh bekerjasama dengan mereka. Dalam kata lain, kedua pemimpin itu seperti memberi isyarat kepada PAS bahawa parti Islam itu tidak lagi relevan untuk bersama dalam gabungan pembangkang.

BACA: Khairy gesa kerajaan Selangor dibubar susulan 'berkuburnya' Pakatan Rakyat

BACA: DAP lah habis, Pakatan Rakyat belum habis - Nik Abduh

Semua kenyataan ini dibuat selepas PAS pada Muktamar Tahunannya yang ke-61 meluluskan tanpa bahas usul yang meminta Majlis Syura Ulama (MSU) dan Jawatankuasa PAS Pusat meneliti untuk menamatkan kerjasama dengan DAP tetapi kekal dalam Pakatan Rakyat. Semua orang pelik dengan usul ini, kerana semua orang faham bahawa Pakatan Rakyat itu adalah PKR, DAP dan PAS. Pakatan Rakyat bukan hanya DAP dan PKR atau PKR dan PAS atau juga hanya PAS dan DAP. Sejak 2008, penyokong Pakatan Rakyat memahami bahawa itulah Pakatan Rakyat, kerjasama antara DAP, PKR dan PAS.

Tetapi sejak Dewan Ulama PAS Pusat yang bermuktamar di Taman Melewar, Gombak meluluskan dengan sebulat suara usul supaya kerjasama dengan DAP ditamatkan tetapi kekal dalam Pakatan Rakyat, penyokong Pakatan Rakyat keliru -- apa yang PAS atau golongan ulama dalam PAS mahu. Yang mereka faham, PAS kini ada senjata baru, yang tersembunyi dalam jubah, siku dan lutut.

Biarpun DAP sebelum ini membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi tetap teruskan usahasama dengan PAS dan PKR, penyokong Pakatan Rakyat boleh memahami bahawa keputusan itu dibuat gara-gara sikap Abdul Hadi yang dilihat membelakangkan sekutunya dalam gabungan tersebut.

Penyokong Pakatan Rakyat melihat sikap pelik Abdul Hadi bermula dengan isu kedudukan Menteri Besar Selangor dan kemudiannya isu usul persendirian ke Dewan Rakyat yang dibuat tanpa memberitahu bukan hanya DAP dan PKR tetapi tidak memaklumkan juga kepada pimpinan PAS Pusat termasuk Ketua Whip PAS, Datuk Mahfuz Omar.

BACA: "Pakatan Rakyat kini tinggal sejarah" - Netizen

Bermula dengan isu Menteri Besar Selangor, pemerhati politik sudah dapat menjangkakan bahawa Pakatan Rakyat akan berakhir. Keputusan pemilihan PAS di muktamar baru-baru ini juga memberi isyarat bahawa gabungan tersebut menuju titik noktah. Hari ini, apabila Guan Eng membuat kenyataan tersebut, ia seperti sudah mengesahkan kerjasama tiga parti itu sudah berkubur.

Biarpun pemimpin PAS beranggapan bahawa Pakatan Rakyat masih ada, namun penyokong-penyokong pembangkang mengharapkan munculnya parti baharu yang boleh mengisi tempat PAS seterusnya membentuk gabungan baharu menggantikan Pakatan Rakyat.

Hari ini, timbul persoalan kepada semua pemerhati politik tanahair, apakah parti baharu itu akan wujud sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)?