Pulau yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi perlancongan yang paling popular di negara malah tidak keterlaluan di dunia.
Tiada siapa boleh menafikan jasa Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pembangunan pulau ini.
Sejarah juga tercatat, pada 1954, Dr Mahathir dilantik sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar dan memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.
Antara pembangunan yang dilakukan Dr Mahathir ialah mengisytiharkan Langkawi sebagai pulau bebas cukai pada 1987 dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi.
Selepas 19 tahun Dr Mahathir meninggalkan medan tempur Pilihan Raya Umum (PRU), kali ini tokoh berusia 93 tahun itu datang lagi dengan 'baju' Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan menjadi calon di Parlimen Langkawi.
Kehadiran 'otai' politik ini dengan penuh langkah penuh keyakinan dapat merampas kerusi itu daripada tangan penyandangnya, Datuk Nawawi Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi.
Kemenangan selesa Nawawi 11,861 pada PRU13 seolah-olah menjadi bahan bualan Dr Mahathir yang yakin dapat mengambil sekurang-kurangnya 7,000 majoriti undi pada PRU kali ini.
Bagaimanapun Nawawi yang menghormati Dr Mahathir mengakui tidak mudah mengaku kalah dan melihat batasan dari segi fizikal, mental dan tenaga kerja kepada pencabarnya itu.
"Mungkin satu hari dia tidak boleh kerja 24 jam sebagaimana orang muda seperti kami," kata Nawawi di dalam sebuah portal.
Kali ini juga, kehadiran Yang Dipertua Pas Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad sebenarnya tidak boleh dinafikan kehebatannya.
Zubir, 55 tahun ini sebenarnya membuat penampilan semula selepas tewas dengan BN ketika bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada PRU11.
Pengalaman Zubir di dalam pertandingan PRU juga tidak boleh ditolak tepi dengan mudah kerana peniaga ini pernah mewakili Pas pada PRU 2008 dan 2013 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat namun tewas kepada BN.
DUN Kuah dan Ayer Hangat
Di atas kertas, kedua-dua DUN di dalam jajahan Langkawi ini dilihat menjadi milik BN sejak beberapa PRU sebelum ini namun tidak ada sesiapa boleh menafikan faktor-faktor lain termasuk kehadiran Dr Mahathir untuk menggugat majoriti atau mungkin keajaiban dalam keputusan berlaku di kedua-dua DUN berkenaan.
Di Kuah, Naib Ketua UMNO Langkawi merangkap penyandang kawasan itu, Nor Saidi Nanyan akan bertemu Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi dan Ketua Pemuda Bahagian PPBM Langkawi, Mohd. Firdaus Ahmad mewakili PH.
Untuk rekod Nor Saidi memenangi DUN Kuah pada PRU13 dengan majoriti 6,371 undi.
Sementara di Ayer Hangat, penyandang DUN Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid akan bertemu bekas exco Kerajaan Negeri Kedah pada 2008, Azlina Azinan dan calon PH, Juhari Bulat.
Untuk rekod Mohd Rawi memenangi DUN itu pada PRU13 dengan majoriti 5,311 undi.
Debaran semakin terasa, penamaan menjadi titik mula perkiraan kempen besar-besaran sebelum keputusan pada petang 9 Mei depan.
Langkawi menjadi satu kerusi panas kerana kehadiran Dr Mahathir. Penantian keputusan di P004 ini akan menjadi antara debaran paling besar pada PRU14.
Mengikut statistik daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 19 Februari lalu, 42,793 orang pengundi di Langkawi ini akan menentukan segalanya.
Kita tunggu siapa bakal 'miliki' Langkawi, permata negeri Kedah selepas 9 Mei ini.