Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dicadang dibubarkan dan memasuki UMNO sebelum menyertai Muafakat Nasional (MN).

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, situasi itu tidak mustahil berlaku kerana Bersatu sendiri sudah pecah dua akibat parti baharu yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, UMNO juga sedia menerima Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ahli-ahli parti itu dengan hati terbuka.

"Tengok perlembagaan parti mereka, hampir sama dengan UMNO. Apa ertinya mereka masuk Muafakat Nasional (MN), baik mereka ini yang tinggal masuk dalam UMNO dan berjuang kepada kedudukan orang Melayu dalam kerajaan yang lebih baik.

"Melayu yang berpecah-belah mengurangkan penawaran kita kepada Malaysia, itu yang saya katakan bila minta Muhyiddin (masuk UMNO) dan kita dalam UMNO akan menerima dengan hati yang terbuka kerana asalnya Muhyiddin adalah dalam UMNO, beliau bukan lompat, beliau dipecat. Ada beza itu.

"Sebab itu saya kata bahawa sekiranya masuk ke dalam UMNO kita sama-sama boleh perjuangkan kedudukan orang Melayu. Saya percaya kalau dia mempunyai hasrat itu, UMNO akan terima dengan hati yang terbuka. Ini bukan soal kita rasa tidak baik untuk Tan Sri Muhyiddin, ini cadangan lebih baik, saya percaya akar umbi UMNO bila kita beri keterangan mereka akan terima keadaan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

BACA: Gabungan Pas, UMNO, Bersatu wujudkan gagasan 'Melayu Raya' - Pas

BACA:
Muhyiddin perlu kembali, diangkat sebagai Presiden UMNO - Nazri Aziz

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan sokongan penuh dengan keputusan Bersatu untuk menyertai MN yang diasaskan UMNO dan Pas.

Jelas Takiyuddin, penyertaan UMNO, Pas dan Bersatu bukan sahaja akan mewujudkan suatu gagasan besar 'Melayu Raya' sebaliknya juga memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya.

Dalam pada itu, penganalisis politik yang juga felo penyelidik dari Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, UMNO boleh menolak kemasukan Bersatu ke dalam MN melalui usul yang diperoleh dari persidangan cawangan dan bahagian parti itu yang sedang berlangsung sekarang.

Tegasnya, usul itu kelak seharusnya dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO untuk dipersetujui melalui saluran sepatutnya.

"Pandangan akar umbi atau suara bawahan perlu diambil kira dan golongan bawahan sepatutnya memanfaatkan persidangan cawangan dan bahagian yang sedang berjalan untuk menyuarakan usul bahawa mereka tidak mahu menerima Bersatu itu masuk itu masuk MN tetapi sebaliknya mahu Bersatu bubar dan masuk UMNO kembali. Itu mungkin boleh jadi usul.

"Usul kedua pula, mereka menolak secara total kemasukan Bersatu. Apa yang perlu dilakukan oleh golongan bawahan dan akar umbi ialah menyuarakan pendapat mereka, menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada usul di dalam persidangan cawangan atau bahagian.

"Jadi, kita boleh menentang, tetapi ia haruslah melalui saluran-saluran yang dibenarkan di dalam parti," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan, Muhyiddin perlu kembali menyertai UMNO dan mengukuhkan parti terbesar orang Melayu itu, kata

Menurut Nazri, semua ahli dan pemimpin UMNO perlu bersikap terbuka dan menerima Muhyiddin kembali menyertai parti itu.