Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengakui parti itu mula dilanda gelombang keluar parti berikutan terdapat ahlinya yang tidak berpuas hati terhadap keputusan pucuk pimpinan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti individu yang menjadi punca ahli-ahlinya di Perak keluar parti baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau masih lagi menunggu angka sebenar ahlinya yang keluar PPBM di Perak.

"Sebenarnya, ini mungkin disebabkan segelintir pemimpin yang tidak rasa puas hati dan kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan PPBM.

"Saya sudah tahu siapa di belakang yang cuba mengapi-apikan anggota supaya keluar parti secara beramai-ramai berikutan pelantikan Ketua PPBM Perak," ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, walaupun terdapat gelombang protes, namun perkara berkenaan diyakini tidak menjejaskan PPBM secara keseluruhan.

"Saya masih nak menunggu yang dikatakan ribuan yang keluar tu. Kadang-kadang ia bertujuan untuk publisiti saja. Tapi kalau semak balik mungkin puluhan saja.

"Bagi saya ia tidak menjejaskan, kerana yang berlaku itu di satu atau dua bahagian saja, yang lain masih berada dalam keadaan cukup baik," ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa di Pulau Betong, Balik Pulau pada malam Khamis.

Beliau mengulas tindakan lebih 1,000 ahli PPBM Perak diketuai Ketua Penaja Bahagian PPBM Ipoh Timur Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Penaja Bahagian PPBM Teluk Intan Jemaat Yaacob yang isytihar keluar parti, berkuat kuasa serta merta susulan kegagalan Muhyiddin menyelesaikan konflik dalaman parti di peringkat pusat dan negeri walaupun tempoh seminggu telah diberikan kepada beliau.

Mereka mendakwa sudah 'muak' dan hilang minat dengan kemelut yang berlaku dalam parti itu pada ketika ini.