Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik empat Menteri Kanan bagi membantu dalam penyelarasan hal ehwal Kabinet yang berkaitan dengan bidang-bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur serta pendidikan dan sosial.
Pelantikan Menteri-Menteri Kanan ini akan membolehkan isu-isu berbangkit antara kementerian dalam bidang-bidang utama dapat diselaras dengan lebih cekap dan berkesan.
"Ringkasnya, saya ingin membentuk sebuah kabinet yang benar-benar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat – a cabinet that delivers," kata Muhyiddin dalam pengumuman Jemaah Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan di sini, hari ini.
"Menteri-Menteri Kanan akan membantu saya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri termasuklah mempengerusikan mesyuarat kabinet di waktu ketiadaan saya dalam negara. Dengan adanya Menteri-Menteri Kanan ini, maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang Timbalan Perdana Menteri dilantik.
Selain itu, bagi memenuhi keperluan semasa, beberapa kementerian akan distruktur semula," katanya.
BARISAN MENTERI KANAN DAN TIMBALAN MENTERI
1. Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Timbalan Menteri: Datuk Lim Ban Hong (akan dilantik sebagai senator)
2. Menteri Kanan - Menteri Pertahanan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Timbalan Menteri: Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz
3. Menteri Kanan - Menteri Kerja Raya
Datuk Seri Fadillah Yusof
Timbalan Menteri: YB Datuk Dr Shahruddin Bin Md Salleh
4. Menteri Kanan - Menteri Pendidikan
Dr Mohd Radzi Md Jidin
Timbalan Menteri I: Dato’ Dr Mah Hang Soon (akan dilantik sebagai senator)
Timbalan Menteri II: YB Muslimin Bin Yahaya
BACA: Ucapan penuh pengumuman senarai Kabinet oleh PM Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengumuman senarai Jemaah Menteri bagi Kabinet baharu itu dibuat selepas lebih seminggu Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri kelapan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu.
Muhyiddin, 72 tahun, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, pada 1 Mac.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.