Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau sedang merancang untuk menubuhkan satu parti politik baharu.

"Saya merujuk kepada laporan berita baru-baru ini yang menyatakan bahawa saya ingin menubuhkan sebuah parti politik baharu. Ini tidak benar," katanya dipetik laporan The Star Online hari ini.

Nazir yang semakin lantang menyuarakan pandangannya terhadap pergolakan politik semasa negara dikatakan sudah dalam perbincangan dengan rakan-rakan untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

"Dalam konteks ini, saya telah berbual dengan rakan-rakan yang mempunyai fikiran sama, termasuk Datuk Saifuddin Abdullah untuk membolehkan rakyat Malaysia menyuarakan pandangan, kebimbangan dan cadangan mereka.

"Kami telah membincangkan tentang penubuhan sebuah NGO, tetapi itu masih satu idea pada masa ini," kata Nazir dalam laporan itu.

BACA: 'Mengapa 1MDB masih belum diaudit?' - Nazir Razak

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global Moderate Movement (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan perbincangan yang diadakan bersama Nazir dan rakan-rakan lain untuk penubuhan sebuah NGO.

"Memang ada perbualan, beliau dan rakan-rakan, termasuk saya membincangkan keadaan sosio-politik dan ekonomi semasa.

"Kami berpendapat untuk membentuk sebuah NGO sebagai platform untuk moderate voices," kata Saifuddin.

BACA: Parti 'semua kaum' adik Najib bakal temui kegagalan - Zainal Kling

Sebelum ini, Nazir dikatakan memikat idea untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu, seperti yang dilaporkan oleh portal berita Asia Sentinel.

Laporan itu menyatakan Nazir secara senyap telah bertemu dengan pemimpin perniagaan di United Kingdom dan di Kuala Lumpur untuk membentuk satu entiti politik bukan partisan.

Parti baharu itu dikatakan bertujuan untuk mendekati semua kaum dan menamatkan politik perkauman yang memecahbelahkan rakyat Malaysia.