Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara peribadi menyambut baik keputusan Pas untuk menubuhkan pakatan baharu dengan sebuah parti pelbagai bangsa sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) akan datang.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata langkah sedemikian akan lebih mewarnai arena politik tanah air sekali gus menjadikan rakyat lebih matang berpolitik.

"Ini juga mampu menjadikan politik tanah air lebih baik, lebih demokratik dan banyak pilihan," katanya ketika berucap pada majlis amanah khas Ketua UMNO Bahagian kepada kepimpinan UMNO Cawangan Empat Peringkat Bahagian Bagan Datoh di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas pengumuman Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pada Khamis mengenai keputusan parti itu untuk bergerak sebagai sebuah lagi parti politik selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

BACA: PAS akan bentuk blok baharu pembangkang 16 Mac ini - Takiyuddin

BACA : Blok pembangkang Pas: Kerajaan Selangor yakin tidak tergugat - Azmin


Bagaimanapun perkara itu hanya akan diumumkan pada Rabu ini.

Ahmad Zahid menarik perhatian apabila berkata keputusan Pas itu jelas menunjukkan bahawa parti itu telah menjadi kuda tunggangan DAP selama ia berada dalam pakatan pembangkang.

"Harap rakyat sedar DAP tidak lebih daripada parasit dan anai-anai yang meruntuhkan sistem demokrasi negara.

"Saya tidak berhasrat untuk masuk campur, tapi perkembangan baharu ini memberikan kesedaran apa yang berlaku adalah hidayah daripada Allah," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh itu berkata perpaduan yang jitu dalam kalangan anggota di peringkat akar umbi merupakan satu daripada 'resepi' utama untuk memastikan parti keramat orang Melayu tersebut terus kukuh.

Anggota UMNO di semua peringkat juga perlu sentiasa bekerja kuat tanpa mengharapkan sebarang ganjaran selain perlu mengatur strategi untuk memenangi hati serta pemikiran rakyat, katanya.

"Saya harap kita tidak hanya melihat kepada politik di luar, tetapi apa yang penting asas kita adalah politik dalaman," katanya.

BACA: Pakatan pembangkang baharu tidak bermakna jika tidak inklusif - Guan Eng

BACA: Bentuk sebenar blok pembangkang Pas tidak jelas, impak sukar dinilai - Saifuddin