Pembangkang perlu mewujudkan pakatan baru sebagai alternatif kepada Pakatan Rakyat yang telah rapuh bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 akan datang.

Jelas Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, apa saja usaha perlu dilakukan untuk memastikan kerjasama antara parti pembangkang terus relevan dalam arena politik di Malaysia.

“Ia satu fakta yang menyedihkan (kemelut PAS-DAP), bagaimanapun kita perlu menerimanya. Tanpa mencapai konsensus dan kerjasama antara tiga parti pembangkang, bagaimana Pakatan Rakyat mahu terus kekal?

“Saya percaya perlu ada pakatan baru, sama ada penjajaran semula atau apa saja yang akan menjadi alternatif kepada Pakatan Rakyat," kata Hanipa ketika ditemui di Parlimen.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bakal wujud satu parti politik baru.

Menurutnya, cadangan itu turut disuarakan dalam sebuah majlis yang diberi nama ‘Jasamu Dikenang’ di Muar, Johor pada Isnin.


Sementara itu, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang juga hadir dalam majlis tersebut memaklumkan, cadangan penubuhan parti baru itu masih dalam perbincangan.

Katanya, penyelesaian kepada kemelut yang melanda harus dicari bagi memastikan kerjasama pembangkang termasuk dengan DAP tidak boleh berkubur.

Bagaimanapun, menurut Mohamad yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu, sebarang keputusan mahupun pengumuman tidak akan dibuat dalam bulan Ramadan berkenaan perkara tersebut.

“Bagi saya perlu diusahakan semula pakatan pembangkang ini kerana untuk menghadapi PRU-14, untuk menentang BN perlu ada gabungan atau kerjasama.

“Kalau kita bersendirian, ia terbukti daripada pengalaman yang lepas, memang sukar untuk berjaya," katanya.

Selain Mohamad, kesemua bekas pemimpin PAS yang hadir dalam majlis yang diadakan di ibu pejabat PAS kawasan Bakri itu, gagal mempertahankan jawatan masing-masing dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor awal bulan ini.

Muktamar PAS lepas turut disifatkan sebagai kebangkitan semula golongan pro-ulama dalam kepimpinan parti itu dengan hampir kesemua calon golongan profesional gagal menguasai jawatan-jawatan penting dalam parti itu.

Selepas Johor, satu lagi majlis yang sama dijangka berlangsung di Pahang pada 26 Jun ini.