Selepas mengambil kira situasi politik semasa, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu memutuskan gabungan politik Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi berfungsi secara formal.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan itu diputuskan selepas PAS
menerima usul menamatkan kerjasama dengan DAP tanpa bahas di Muktamarnya yang ke-61 baru-baru ini, dan berikutan tindakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang mengumumkan penamatan riwayat PR.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebooknya malam ini, Wan Azizah juga berkata PKR kesal dengan tindakan kedua-dua parti itu dan menganggap ia dilakukan dengan tergesa-gesa.

"Namun, kami bersyukur ke hadrat Allah kerana semangat dan permuafakatan PR di Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, dan di bawah pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus kekal.

"Dalam semangat yang sama, dan tertakluk kepada Dasar Bersama PR, PKR akan terus memberikan sokongan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob.

BACA: Bekas AJK PAS setuju keputusan DAP akhiri kerjasama dalam Pakatan Rakyat

BACA: Muktamar kecoh seketika kerana isu 'putuskan hubungan dengan DAP'

BACA: Pakatan Rakyat sudah tiada lagi - Kit Siang

PKR rasa kesal atas usul yang diterima tanpa bahas di Muktamar PAS ke-61 dan berikutnya CEC DAP yang elah mengumumkan penamatan riwayat PR yang kami anggap tindakan tergesa-gesa.
"PKR akan terus merintis usaha-usaha membina permuafakatan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan-kumpulan rakyat dan tokoh-tokoh berpengaruh untuk menumbangkan Barisan Nasional," katanya.

Tambahnya, PKR sangat menghargai permuafakatan yang digembleng bersama dengan PAS dan DAP sebelum ini yang melonjakkan PR sehingga mendapat sokongan 52 peratus pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini mendakwa keputusan Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah "membunuh" PR.

BACA: Kedudukan Azmin sebagai MB Selangor mungkin tidak terjejas

BACA: Rakyat ragu dengan pendirian terkini PAS, kata penganalisis

BACA: Pimpinan parti komponen PR perlu cari jalan penyelesaian - Mat Sabu

PR, pakatan longgar antara DAP, PAS dan PKR, ditubuhkan pada 1 April 2008 selepas PRU12.

Awal bulan ini, Muktamar PAS telah meluluskan resolusi agar parti itu memutuskan hubungan dengan DAP setelah DAP secara rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi kerana mendakwa pemimpin PAS itu tidak berbincang dengan anggota PR lain mengenai rancangannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

PAS pula mendakwa para pemimpin DAP menyerang kepimpinan Abdul Hadi dan ini mendorong parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Guan Eng juga menyebut beberapa peristiwa besar sebelum ini, termasuk krisis Menteri Besar Selangor dan keputusan yang dicapai dalam Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat, yang telah dicabuli Abdul Hadi hingga menyebabkan pakatan itu hampir lumpuh.

Beliau bagaimanapun berkata DAP akan terus bekerjasama dengan PKR dan pihak lain bagi menawan Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.