Beliau yang juga perdana menteri berkata dapat 'menghidu' terdapat anggota parti yang lebih berminat kepada pemilihan UMNO.
"Saya nampak ada (anggota) main tali halus. Saya dah lama dalam politik boleh baca, saya tahu dia sokong siapa. Nak main tali halus sikit tak apa tapi jangan hilang fokus dan hala tuju," katanya dalam ucapan penggulungan pada akhir Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya juga, beliau berkata parti itu tidak lagi berdepan masalah dalaman dan pulih bagi menghadapi cabaran PRU-14.
Selain itu, pengumuman kehadiran Datuk Seri Najib ke Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya pada Ahad membuktikan UMNO sebuah parti yang mewakili 31 juta rakyat di negara ini, adalah sebuah parti yang berjiwa besar dan penggerak transformasi nasional.
LAPOR LANGSUNG Perhimpunan Agung UMNO 2016 (Hari Akhir)
"Pejabat Presiden Myanmar keluar kenyataan isi kandungan itu katanya saya sebagai Perdana Menteri hadir dalam rapat umum, dia anggap saya campur tangan dalam urusan Myanmar.
"Saya hendak beritahu kepada dia, ini bukan soal campur tangan dalam urusan Myanmar, ini adalah soal kita pertahankan nilai kemanusiaan, nilai universal,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menempelak pakatan pembangkang yang cenderung mengaitkan dirinya dengan pelbagai isu negatif yang berlaku dalam negara.
Presiden UMNO itu berkata beliau dihempap dengan pelbagai kesalahan dengan cerita yang sengaja direka-reka oleh pembangkang untuk menghasut rakyat, termasuk dikaitkan dengan beberapa kes pembunuhan.
"Orang yang saya tak kenal, Altantuya (Shariibuu) pun dia kata saya terlibat. Kalau saya terlibat, tak payah tunggu polis, isteri saya dah buat sesuatu dah. Walaupun saya dah bersumpah dalam masjid, bangkit lagi cerita, tetapi tiada bukti langsung.
"(Kes pembunuhan) Kevin Morais pun kata saya terlibat. Cerita cincin lagi. Selepas itu, dia kata dia bergurau, tetapi bak kata orang putih, 'the damage is done' (kerosakan telah berlaku)," katanya lagi.
BACA: Jangan hempap segala kesalahan kepada saya - Presiden UMNO
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya, turut memaklumkan, kerajaan telah menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk memantau dan menyiasat pertubuhan yang diresapi idea revolusi warna di negara ini yang mahu menggulingkan kerajaan.
Beliau berkata laporan risikan menunjukkan beberapa pertubuhan di negara ini dikesan meresapi ideologi revolusi warna untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) antaranya Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Bersih, Majlis Peguam, Malaysia Kini.com dan Sarawak Report.
BACA: Pasukan petugas pantau gerakan revolusi warna ditubuhkan - TPM Zahid
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien dalam ucapan penggulungannya menegaskan, pengorbanan dan taat setia anggota parti perlu diletakkan pada kedudukan tertinggi bagi mengelakkan perpecahan seperti yang berlaku setahun lalu.
Mengakui ia bukan perkara mudah untuk dilakukan, namun tegas Hishammuddin, ahli perlu sedia berkorban bagi memastikan tanah air tidak hilang kerajaan dan pada masa sama nasib Melayu terus terbela.
BACA: Ahli UMNO perlu berkorban dan setia kepada parti - Hishammuddin
Buat Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan pergerakan itu mensasarkan landskap politik negara akan berubah sekiranya 30 peratus wanita menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Dalam ucapan pebnggulunganya, beliau menegaskan pergerakan itu akan mempersiapkan diri sekiranya hasrat melihat 30 peratus calon wanita bertanding dalam pilihan raya umum akan datang direalisasikan.
"Maka, semasa perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri, apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kata nak bisik dengan presiden untuk 30 peratus calon wanita, kami bukan hanya menyambut baik, malah akan mempersiapkan diri untuk menyahut cabaran ini.
BACA: Wanita UMNO mahu ubah landskap
Dalam pada Prinsip wala' yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diperjelaskan supaya tiada pihak tersalah tafsir istilahnya.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, ia bukan konsep kesetiaan membuta tuli kepada presiden dan pimpinan parti.
"Di luar sana ada suara anak muda yang tertanya-tanya soalan tentang konsep wala', ada yang bersangka buruk mengatakan bahawa wal'a ini adalah kesetiaan membuta tuli, " katanya sewaktu ucapan penggulungannya.
BACA: 'Wala' UMNO bukan kesetiaan membuta tuli' - Khairy
Puteri UMNO pula senada dengan presiden parti, menggesa semua pihak bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Menurut Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sayap parti itu menubuhkan sekretariat unit khidmat pilihan raya bagi membantu parti memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
Beliau dalam ucapan penggulungannya petang tadi berkata, meskipun berlaku pelbagai pertembungan antara harapan, kesetiaan dan penderhakaan, ugut serta sabotaj... Puteri UMNO tetap memilih untuk setia bersama Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.
PAU2016: Puteri sedia gempur PRU-14
Perhimpunan Agung UMNO berlangsung selama lima hari bermula 29 November lalu dan melabuhkan tirai hari ini, ia membabitkan seramai 5,732 perwakilan.