Perwakilan Pemuda UMNO Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, ini kerana posisi wakil rakyat bukan milik mereka secara mutlak tetapi milik parti.
"Saya tidak tahu Pemuda dari negeri lain, kalau kamu takut, kamu ketinggalan. Kalau kamu takut, sampai bila pun kamu akan ambil pemimpin di airport (lapangan terbang).
"Cukup. Sudah. Kami cabar mana-mana wakil rakyat yang lebih dari tiga penggal tetapi bukan memegang jawatan penting, undurlah. Beri ruang kepada yang muda," katanya ketika membahaskan ucapan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Tambahnya, beliau sebagai Pemuda bersama rakan seperjuangan sentiasa ingin menyumbang untuk membangunkan dan merencana halatuju negara.
"Bila kami ingin menyertai sistem untuk bantu menggubal polisi, mereka kata, belum masa lagi. Sampai bila kami mahu tunggu?" tanya Khairul Firdaus.