Pakatan Harapan akan mengambil pandangan semua pihak sebelum memutuskan siapa yang bakal mengetuai gabungan tersebut.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, paling penting mereka mahu perubahan positif dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Jelasnya, Pakatan Harapan kini lebih mengutamakan struktur efektif dan berkesan semua parti kepada rakyat.

"Saya kira ini pandangan yang perlu diambil kira semua pihak. Di dalam mana-mana pandangan pelbagai parti itu tetap ada.

"Kita meraikan semua pandangan, yang penting ialah PRU ke-14 akan beri kesan yang positif, untuk dilakukan perubahan maka saya kira perbincangan ke arah itu. Bukan siapa yang yang menduduki kerusi berkenaan," katanya semasa sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Selangor di Padang Pembandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini hari ini.

BACA: Belum ada persetujuan lantik Tun M ketuai Pakatan Harapan - PKR

BACA:
Anwar tarik diri calon PM Pakatan Harapan

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, laporan Biro Politik PKR sudah bersetuju untuk melantik Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan adalah tidak benar sama sekali.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil juga sebelum ini dilaporkan berkata, pimpinan Pakatan Harapan masih lagi berbincang berhubung barisan kepimpinan gabungan tersebut.

Dalam pada itu tegas Azmin, proses perbincangan isu berkenaan berjalan lancar namun pengumumannya perlu sedikit masa lagi.

"Fokus kita untuk meastikan semua perbincangan PRU ke-14 lancar kerana struktur Pakatan Harapan ini bukan sahaja perjawatan tapi persiapan semua parti dalam konteks manifesto dan pembahagian kerusi itu sedang diteliti dan semua sedang diperkemas.

"Ia boleh diselesaikan dalam masa terdekat. Selesai Syawal kita akan kemukakan struktur jelas termasuk PRU ke-14.

"Ini strategi, kita sudah buat keputusan lebih besar, soal masa, biar pimpunan putuskan," katanya.

Pemimpin de facto PKR Anwar Ibrahim sebelum ini menarik diri sebagai calon perdana menteri PH.

Katanya, perhatian seharusnya diberikan dalam usaha memenangkan calon Pakatan Harapan pada PRU ke-14, bukannya membenarkan isu lain seperti perebutan kuasa, kedudukan dan keterlanjuran kata dalam kalangan pimpinan.