Perdana Menteri interim tidak memerlukan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Demikian dijelaskan peguam Datuk Salehuddin Saidin, menerangkan mengenai perdana menteri interim, yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini.

Menurutnya, seorang perdana menteri interim hanya menjalankan tugas untuk sementara waktu, tanpa boleh membuat sebarang keputusan membabitkan pentadbiran negara.

Bagaimanapun, pelantikannya diperlukan bagi menguruskan negara sekiranya timbul sebarang masalah.

"Sebabnya, kalau tanpa perdana menteri, bayangkan, siapakah yang akan menguruskan andai kata berlaku sesuatu masalah negara, rusuhan dan sebagainya?

"Dalam situasi cemas dan sebagainya, kita perlukan seorang perdana menteri untuk menggerakkan jentera kerajaan. Itu sebabnya diperlukan seorang perdana menteri interim," katanya kepada Astro AWANI.



Bagaimanapun, kata Salehuddin, pelantikan perdana menteri interim tidak ada kena-mengena dengan sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat.

"Itu tidak timbul sama sekali, sebab, dia tidak akan memegang jawatan perdana menteri itu untuk tempoh yang lama.

"Saya percaya, ahli-ahli Dewan Rakyat sekarang ini sedang berunding, sedang berbincang untuk menentukan siapakah sebenarnya yang mendapat sokongan majoriti untuk diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tujuan lantikan sebagai seorang perdana menteri," tambahnya.


Dari segi bahasa undang-undang, interim bermaksud sementara. Dari segi Bahasa Melayu, ia bererti tidak rasmi.


Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh.

Surat kepada Yang di-Pertuan Agong telah dihantar pada pukul 1.00 tengah hari Isnin dan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan itu.

Bagaimanapun, baginda kemudiannya berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim.

Menurut Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, baginda berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.



Sementara itu, seorang pakar undang-undang mengatakan pelantikan perdana menteri interim tidak terdapat dalam perlembagaan.

Profesor Datuk Salleh Buang berkata, mengikut peruntukan perlembagaan, negara mesti mempunyai seorang ketua kerajaan iaitu Perdana Menteri.

"Dari segi bahasa undang-undang, interim bermaksud sementara. Dari segi Bahasa Melayu, ia bererti tidak rasmi, tetapi kalau mengikut perlembagaan, memang (perdana menteri interim) tidak ada.

"Jika hendak cakap sebagai caretaker (kerajaan sementara), perkara ini berlainan, kerana ia bermaksud kerajaan sudah habis tempoh satu penggal," beliau dipetik berkata akhbar Sinar Harian.

Begitu juga, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Hamidin Hamid menyifatkan pelantikan perdana menteri interim tidak sesuai, terutamanya dalam kemelut politik ketika ini.

Sehubungan itu, katanya, bagi memastikan krisis tidak berlanjutan, Dr Mahathir perlu menjelaskan percaturan yang sebenar.