Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mahu ada wakil dari kaum Cina dalam kerajaan pimpinannya ketika ini dan akan datang.

Ini kerana selain kaum Bumiputera, kaum Cina juga merupakan salah satu kaum yang penting di negeri itu dan mereka tidak seharusnya diketepikan untuk sama-sama membangunkan Sarawak.

Menurut Adenan, beliau bukan hanya Ketua Menteri untuk satu kaum saja, tetapi Ketua Menteri untuk semua dan berjanji akan terus berjuang untuk semua kaum yang ada di Sarawak.


"Saya punya nama Adenan Satem, saya mahu kaum Cina sama-sama dalam 'perintah' (kerajaan).

"Saya tidak mahu 'perintah' itu tiada kaum Cina tidak ada (wakil). Kalau anda mahu kaum Cina ada dalam 'perintah' Adenan, undilah SUPP, undi semua calon Cina (SUPP)," katanya dalam ucapan ketika menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Batu Kawa malam ini.

Justeru beliau menyeru masyarakat Cina yang ada di Sarawak untuk menyokong dan mengundi calon Barisan Nasional (BN) yang telah dipilih olehnya pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke-11 pada 7 Mei akan datang.

Majlis malam ini dihadiri oleh kira kira dua ribu anggota masyarakat setempat di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Kawa.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri Datuk Patinggi Jamilah Anu serta calon BN bagi kerusi Dun Batu Kawa, Senator Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian.