Pakatan Rakyat dinasihatkan mencari jalan penyelesaian bagi memastikan gabungan parti pembangkang itu tidak berkubur.

Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, usaha itu perlu kerana kerjasama antara PAS, PKR dan DAP penting untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Beliau, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, menegaskan PAS dan parti komponen Pakatan Rakyat perlu bergerak dalam satu gabungan untuk menumbangkan Barisan Nasional dan ia telah terbukti dalam beberapa pilihan raya umum lepas.

“Bagi saya, perlu usahakan semula Pakatan bagi menghadapi BN dalam pilihan raya yang akan datang.

“Kita susah untuk berjaya bersendirian walaupun sudah ada banyak pengalaman,” jelas Mat Sabu.

Tambahnya, sebagai ahli biasa, beliau menyerahkan kepada kepimpinan baharu PAS untuk menyelesaikan kemelut parti itu dengan DAP.

“Itu terserah kepada pimpinan parti bagaimana nak membuat hubungan semula.

“Saya hanya ahli biasa dan tidak boleh komen tentang dasar. Kena tanya presiden dan setiausaha agung parti,” jelas beliau.

Itu terserah kepada pimpinan parti bagaimana nak membuat hubungan semula.


Dalam pada itu, ketika diminta mengulas laporan bahawa beliau akan menubuhkan parti politik baharu, Mat Sabu berkata ia masih dalam peringkat perbincangan dan tidak menjangka ia akan berlaku dalam bulan Ramadan yang bermula esok.

Mat Sabu berkata laporan mengenai perancangan menubuhkan parti-parti politik baharu adalah perkembangan positif dalam sistem demokrasi negara.

“Soal penubuhan sebuah parti baharu masih dalam peringkat perbincangan lagi dan belum ada keputusan rasmi. Sepanjang bulan puasa, yang akan bermula esok, tidak akan ada kemunculan parti baharu,” kata beliau.

Mat Sabu juga menyambut baik berita kemungkinan munculnya parti baharu oleh Datuk Seri Nazir Abdul Razak iaitu adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“Baguslah kalau tubuh parti baharu. Kita tengok dan lihat perkembangan nanti.

“Ini bermaksud ada masalah besar dalam negara sehingga akan tertubuhnya sebuah parti baharu selain daripada UMNO. Ini satu perkembangan yang besar,” kata Mat Sabu.

Laporan portal berita Asia Sentinel baru-baru ini mengulas tentang penubuhan parti politik semua kaum oleh Nazir yang dikatakan bakal diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Keserhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah.

Mat Sabu ditemui selepas menghadiri perbicaraan kes beliau memfitnah anggota polis Bukit Kepong di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Beliau didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor pada 23 Februari 1950 dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (PASTI) Al-Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.

Beliau juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.