Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands (P078) menjadi pilihan raya pertama pengiraan undi akan disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun, ia antara beberapa pendekatan baharu dan penambahbaikan berbanding PRK sebelum ini.

“Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya, pada PRK ini, SPR akan menyiarkan proses pengiraan undi secara langsung melalui media sosial SPR seperti Facebook, Instagram.

"Ini dilakukan dengan mengambil kira kesesuaian di satu-satu saluran di pusat mengundi yang dipilih,” katanya pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat urusan PRK Cameron Highlands, di sini, hari ini.

Ujarnya, ia bagi memberi kesedaran serta pendedahan kepada masyarakat mengenai proses pengiraan undi semasa pilihan raya.



Selain itu, Azhar berkata bagi memudahkan seramai 385 golongan kurang upaya (OKU) yang telah dikenal pasti, mereka akan mengundi di saluran satu.

SPR juga, jelasnya, akan menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi 60 tahun ke atas di setiap pusat mengundi.

Satu lagi penambahbaikan ialah, SPR akan memanjangkan tempoh masa mengundi dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang, berbanding berakhir jam 5 petang sebelum ini.

Malah, bagi memastikan proses pengundian lancar, sebanyak 18 saluran baru diwujudkan, serta penambahan saluran mengundi di pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih yang ramai, dan penambahan petak undi kepada tiga, berbanding dua sebelum ini.

Menurut Azhar, seramai 811 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK ini.